Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP Perak anggap peserta demo 'budak nakal'
Diterbitkan:  Dec 21, 2009 2:24 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

DAP Perak menyifatkan sekumpulan penunjuk perasaan yang membantah kenyataan pemimpinnya berhubung isu peruntukan masjid dan rumah ibadat bukan Islam serta hak istimewa Melayu sebagai "budak-budak nakal" yang bertindak selepas menerima laporan "media yang palsu".

"Tindak-tanduk kumpulan tersebut jelas melanggar undang-undang dan ketinggalan zaman.

"Mereka rela ditipu oleh laporan sesetengah media arus perdana yang palsu dan degil enggan mendengar penjelasan," kata setiausaha DAP negeri Nga Kor Ming.

Beliau mengulas tindakan lebih 100 penyokong Gagasan Melayu Perak, sebuah NGO yang dekat dengan Umno, di depan ibu pejabat DAP di Ipoh semalam.

"Susah hendak bayangkan pada zaman Internet, (pada) abad ke-21 ini, masih ada manusia yang sanggup percaya kepada kisah palsu yang tidak berasas."

Demonstrasi itu dilaporkan bagi membantah kenyataan Nga dan timbalan pengerusi DAP M Kulasegaran di Parlimen baru-baru ini.

Nga mempersoalkan jumlah yang terlalu kecil, tidak sampai 2 peratus, untuk rumah ibadat bukan Islam tetapi kerajaan membelanjakan lebih RM700 juta untuk lebih 600 masjid dalam tempih lapan tahun sejak 2000.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Nga berkata beliau mengalu-alukan usaha memartabatkan Islam tetapi turut memohon kerajaan agar "memberi layanan lebih adil" kepada rumah ibadat agama lain bagi mengatasi masalah sosial dalam masyarakat dengan mendukung prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.

Kenyataan Nga dan Kulasegaran diberikan liputan meluas di akhbar Utusan Melayu, termasuk reaksi-reaksi kumpulan NGO Melayu yang mendakwa pemimpin-pemimpin DAP itu mencabar kaum tersebut.

Nga telah menjelaskan perkara tersebut di akhbar yang sama, sementara Kulasegaran membuat aduan polis balas sebagai reaksi terhadap sebuah NGO Melayu yang membuat laporan terhadapnya.

ADS