Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam hari ini menyaksikan perdamaian di antara PAS yang menjuarai aspirasi 'negara Islam, dan juga DAP yang menjuarai gagasan 'Malaysian Malaysia.'
Prasangka itu seolah-olah terpadam langsung daripada pemikiran beberapa pemimpin yang mengambil peluang mengulas Dasar Pakatan Rakyat, juga dirasmikan hari ini di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tiada gimik yang melampau-lampau diadakan semasa perasmian tersebut, malah secara keseluruhannya konvensyen tersebut diperhatikan berlangsung dalam suasana yang cukup sederhana.
Kesemua pembahas dan pemimpin parti yang berucap juga menggunakan bahasa Melayu, selari dengan usaha Pakatan untuk memartabat dan memperluas Bahasa Melayu seperti dimaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan, turut dipersembah sebagai dasar Pakatan.
Kata kunci yang kerap diulang oleh para jurucakap dalam konvensyen sulung pakatan itu hari ini ialah 'sepakat' dan 'kerjasama,' manakala kemesraan pula nampaknya semakin terjalin, khususnya antara PAS dan DAP seperti yang diungkapkan seorang pembahas.
Wakil DAP, V Sivakumar semasa dalam sidang perbahasan dasar tersebut pagi ini berkata Pakatan Rakyat perlu mencontohi hubungan antara parti pakatan itu di Perak yang diuji dengan "rampasan kuasa."
'Satu bentuk kekuatan'
"Kalau dulu kita berpegangan tangan, sekarang kita sudah berpelukan," katanya sambil berseloroh kepada hadirin di dewan MBSA, Shah Alam.
Pemimpin PKR, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata konsep kerjasama dalam pakatan harus lebih diserlahkan sebagai satu bentuk kekuatan kepada pakatan itu.
"Kekuatan PAS, DAP dan PKR sekarang bukan boleh diukur seperti dulu. Sekarang kalau di Kelantan PKR lemah, PAS kena bantu dan kalau di Perak PAS lemah, DAP dan PKR kena bantu," kata Zaid lagi.
Di sudut PAS, isu kesepakatan itu antara lainnya diulas oleh presidennya sendiri Datuk Seri Hadi Awang yang berkata dasar tersebut merupakan salah satu peluang kepada PAS untuk membuktikan mereka juga mampu "berpakat."
"Marilah kita dahulukan apa yang boleh kita sepakati dahulu. Kita perlu pertahankan kerajaan di negeri-negeri yang dikuasai," katanya yang turut menyeru ahli pakatan supaya mengambil iktibar daripada perpecahan yang berlaku dalam BN.
Isu melibatkan kedudukan orang Melayu turut mendapat perhatian, antaranya apabila diulas pemidato PAS, Salahuddin Ayub yang berkata Pakatan juga tidak akan mengambil pendekatan sama seperti Umno dan BN dalam mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu yang dimaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan.
"Kita seru kepada rakan-rakan kita supaya jangan takut dengan Perkara 153 kerana ini adalah untuk memberi (bantuan) kepada golongan yang berhak.
'Kami tak cemburu'
"Perkara 153 sebelum ini dicabul oleh Umno dan BN untuk memperkayakan keluarga dan kroni mereka," kata Salahuddin yang juga naib presiden PAS.
Tambahnya, Pakatan akan menyemak semula akta-akta melibatkan institusi penting bagi orang Melayu, termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan juga Tabung Haji.
Ketua pergerakan sosialis pemuda DAP, Anthony Loke pula berkata isu melibatkan kepentingan Melayu tidak lagi akan dipersoalkan oleh pergerakan itu, selagi tidak mencabuli hak bagi mereka yang sepatutnya.
"Tuan-tuan tidak perlu risau kerana DAP akan tetap memperjuangkan kepentingan Melayu," katanya, mengulas janji Pakatan untuk sentiasa memelihara kedudukan Istimewa orang Melayu, sejajar dengan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia yang didukung itu.
"Kita tidak akan cemburu sedikitpun kalau ada orang Melayu yang miskin yang dapat biasiswa ke universiti.
"Namun apa yang kami tentang adalah anak-anak ketua-ketua bahagian Umno, kontraktor-kontraktor Kelas A yang kaya raya tetapi masih mahu membolot biasiswa," katanya lagi.
Rundingan semula
Seorang lagi pemimpin DAP Tony Pua berkata dasar Pakatan ini akan membolehkan ekonomi negara dapat ditadbir dengan memberi lebih keuntungan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Katanya, melalui dasar ini, sistem tender terbuka akan dirombak dan membuat rundingan semula ke atas kontrak-kontrak kerajaan yang didapati menguntungkan sesuatu pihak sahaja.
Langkah di bawah dasar Ekonomi Demokratik dan Telus ini turut menghalang pengenalan cukai baru seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang baru dikemukakan di Parlimen.
"GST ini pada awalnya mungkin pada kadar empat peratus sahaja, tetapi mungkin ia akan naik sehingga 17 peratus atau 20 peratus. Pada masa itu yang rugi adalah rakyat jelata," katanya.
Pemimpin DAP, Tunku Abdul Aziz berkata pelancaran dasar pakatan itu hari ini merupakan "langkah awal ke Putrajaya," apabila Pakatan Rakya berjaya menguasai "prejudis" yang selama ini menjadi halangan kepada kerjasama antara parti.
Katanya lagi, Pakatan kini memasuki fasa baru dan tidak lagi wajar untuk terus duduk dalam zon selesa sebagai pembangkang.
"Memang mudah jadi pembangkang, tapi sekarang kita sudah menubuhkan kerajaan di negeri-negeri. Kita tidak boleh lagi berlagak seperti pembangkang," katanya lagi.