Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno mahu jawatan pengerusi BN P Pinang
Diterbitkan:  Dec 19, 2009 6:03 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Umno mahu jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu dalam usaha mengukuhkan kedudukan perikatan itu di peringkat negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata permintaan itu adalah munasabah kerana hanya wakil Umno telah memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum lepas.

"Parti komponen lain tidak ada satu kerusi pun di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan menyuarat Badan Perhubungan Umno negeri semalam.

Untuk rekod, jawatan pengerusi BN Pulau Pinang tidak pernah dipegang wakil Umno dan jawatan itu kini dipegang Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berharap hasrat Umno Pulau Pinang itu dapat dipertimbangkan oleh pemimpin BN di peringkat pusat.

"Kita berhasrat menjalankan tugas untuk BN dan bekerjasama dengan parti komponen lain bagi mengukuhkan BN, bukannya untuk melaksanakan agenda parti masing-masing.

"Kita yakin bahawa sebagai sebuah parti, adalah mustahil untuk kita menang (pilihan raya) tanpa sokongan parti komponen lain," katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan bahawa permintaan itu bukan untuk personaliti tertentu sebaliknya ia adalah untuk parti .

"Tidak semestinya saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dilantik sebagai Pengerusi BN negeri, jawatan itu mungkin boleh dipegang oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri atau Ketua Pembangkang," katanya.

Selain itu, Dr Ahmad Zahid berkata Umno Pulau Pinang juga berharap jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) tidak diberikan kepada wakil pakatan pembangkang.

"Kita mohon supaya Yang di-Pertuan Agong memperkenankan agar jawatan itu tidak diserahkan kepada wakil pakatan pembangkang, sebaliknya kita mahu ia dipegang oleh pihak lain," katanya.

Ahmad Zahid berkata rombongan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam waktu terdekat bagi menyuarakan hasrat itu.

Yang Dipertua MAIPP ketika ini, Shabudin Yahaya yang juga ADUN Permatang Berangan akan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini. - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS