Hampir dua tahun selepas menerajui tsunami politik pada pilihanraya umum lalu, hari ini menyaksikan tiga parti gabungan Pakatan Rakyat - PKR, PAS dan DAP -mencapai muafakat untuk memperjuangkan satu dasar bersama.
Berucap di konvesyen sulung Pakatan Rakyat di Shah Alam hari ini yang dihadiri 1,500 perwakilan tiga parti berkenaan, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mengulangi jaminannya partinya akan bekerjasama dengan rakan-rakan yang lain.
Parti Islam itu yang sebelum ini dilanda kontroversi berhubung isu kerajaan perpaduan PAS-Umno sejak 8 Mac tahun lalu, hari ini berkata, ia akan membuktikan kesetiaannya kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru semua pemimpin, ahli serta penyokong Pakatan Rakyat supaya jangan melihat perbezaan antara mereka tetapi mendahulukan apa yang telah disepakati bersama.
Bagi beliau, perpecahan yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) sekarang perlu menjadi iktibar kepada mereka.
"Perpecahan dalam tiap-tiap satu parti BN yang sedang memerintah sepatutnya menjadi iktibar kepada Pakatan Rakyat, dan kita sendiri mestilah menunjukkan perpaduan walaupun berbeza pendapat dalam beberapa perkara.
"Dahulukan perkara yang disepakati dan mengambil masa dengan sabar dalam perkara yang masih berbeza," katanya.
Sebelum Abdul Hadi, Datuk Seri Anwar dan Lim Guan Eng memberikan ucapan perdana masing-masing.
"Alhamdulillah kita bersama-sama tinggal dalam negara Malaysia yang dibentuk di atasnya masyarakat majmuk, di mana semua kaum besar di Asia berada di sini.
"Sepatutnya kita membuka mata dengan realiti yang ada sehingga kita tidak boleh menganggap rakannya adalah pendatang , bukan penduduk asal, kerana kita semua tidak berasa asing disini, bahkan bila kita bertemu di luar negara kita terasa bersama daripada satu negara," katanya dalam laporan Harakahdaily.
Menurut beliau, PAS yang berlandaskan Islam menganggap semua manusia adalah sama, kerana realiti mereka percaya kepada Tuhan yang satu.
"Walau pun selepas itu adanya penganut agama yang melantik tuhan-tuhan yang banyak yang sangat bercanggah dengan Islam, tetapi semuanya mengaku kepada Tuhan yang satu sahaja iaitu pencipta alam yang Maha Berkuasa, maka di atas perinsip aqidah ini Islam mewajibkan kerajaan berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama yang berlainan," katanya.
Menurutnya lagi, Islam menganggap semua manusia daripada keturunan Adam dan Hawa, ada pun bangsa dan bahasa yang berbeza, warna kulit yang berlainan, taraf hidup yang tidak sama, semuanya berlaku kemudian.
"Semua perbezaan itu terbentuk selepas proses masa yang panjang , Islam menjadikan perbezaan itu tanda kebesaran Allah," katanya dengan disambut berselang seli dengan tepukan dan teriakan takbir Allahu Akbar.
Abdul Hadi juga mahu rakan-rakan bukan Islam dalam Pakatan supaya tidak mengambil serius contoh-contoh Islam dalam Umno.
Sebaliknya, kata beliau, PAS akan membuktikan kesetiaannya kepada Pakatan.
Dalam ucapannya, Hadi mengibaratkan perjuangan Pakatan menentang BN umpama satu permainan bola sepak.
Bagi Pakatan, katanya, ia mempunyai peluang yang sedikit untuk menyumbat gol manakala BN mempunyai peluang yang besar kerana "kita bermain dengan hanya satu kaki, sedangkan mereka bermain dengan dua kaki'.
Dan pengadil (pihak berkuasa) pula sentiasa menyokong BN, sehingga adakalanya 'pengadil menyumbatkan gol untuk mereka", katanya disambut gelak ketawa perwakilan.
Sementara itu, setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng yakin dasar bersama Pakatan yang diumumkan hari ini, akan dapat mengeratkan hubungan walaupun ia tidak mungkin dapat memuaskan hati kesemua parti komponennya.
Beliau yang juga ketua menteri Pulau pinang memberi contoh pilihanraya kerajaan tempatan yang dikehendaki parti itu, yang tidak dikhususnya dalam dasar tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, gabungan itu telah menerima
'demokrasi kerajaan tempatan' sebagai ganti kepada pilihanraya
kerajaan tempatan dalam dasar bersama itu.
Katanya, contoh kompromi seumpama itu adalah satu petanda yang baik kerana ia adalah menandakan bahawa Pakatan boleh bermuafakat selepas perbincangan dan perundingan.
[Baca berita penuh]