Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 2.31pm Dewan Pemuda PAS (DPP) Wilayah Persekutuan akan melaporkan isu pertukaran tapak masjid di Desa Sri Hartamas kepada kawasan komersil kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) gagal memberi penjelasan yang memuaskan.

mosque project seri hartamas Pagi ini DPP menyerahkan memorandum kepada MAIWP, menuntut penjelasan terhadap 12 perkara yang dibangkitkan berhubung isu tersebut.

Memorandum itu diserahkan dalam pertemuan ketua penerangan PAS pusat, Idris Ahmad dan ketua DPP Wilayah, Kamaruzaman Mohamad dengan ketua pegawai eksekutif MAIWP, Anan C Mohamad di pejabatnya.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira setengah jam itu, Kamaruzaman berkata, pihaknya akan menunggu penjelasan MAIWP sebelum memutuskan sama ada hendak melaporkan perkara itu kepada SPRM.

Antara penjelasan yang dituntut dalam memorandum tersebut ialah mengapa status tanah masjid itu ditukar kepada tanah pembangunan (perniagaan) dan kepentingan MAIWP dalam projek Glomac Galeria.

DPP juga meminta supaya MAIWP mendedahkan dokumen-dokumen perjanjian membabitkan transaksi hartanah tersebut dan dokumen lain yang terlibat.

Status pegangan bebas

Idris pula berkata, Anan dalam pertemuan tersebut telah berjanji untuk memberi penjelasan kepada perkara yang dikemukakan itu.

Katanya lagi, MAIWP antara lainnya perlu menjelaskan bagaimana tapak masjid yang kini menjadi tapak komersil itu, kini menjadi status pegangan bebas.

"Tanah ini sepatutnya dimanfaatkan walaupun bukan untuk bangunkan masjid tapi biarlah pembangunan yang menguntungkan orang Islam," kata Idris lagi.

Memorandum tersebut juga turut meminta MAIWP menjelaskan mengapa tanah tersebut tidak dimajukan bagi "membina masjid atau institusi Islam lain yang sesuai dengan kedudukannya."

Kamaruzaman dalam pada itu pula berkata Anan dalam pertemuan tersebut juga gagal memberitahu jumlah wang tunai yang diterima oleh MAIWP, hasil daripada jualan tanah berkenaan.

"Ini menunjukkan seolah-olah masih ada perkara yang hendak disembunyikan," katanya lagi yang memberikan tempoh hingga Rabu depan untuk MAIWP membuat penjelasan tersebut.

"Kita akan tunggu penjelasan daripada MAIWP dahulu dan lihat sekiranya ada perkara-perkara yang ada unsur rasuah sebelum buat laporan kepada SPRM," katanya lagi.

Menurutnya lagi, pihaknya meminta MAIWP menyatakan siapakah individu-individu berkepentingan dalam membangunkan kawasan tersebut, termasuk kepentingan badan agama itu sendiri.

'Duit jualan projek'

Di samping itu, katanya MAIWP juga diminta mendedahkan nama kesemua 20 pemilik unit komersil berkenaan dan menjelaskan bagaimana duit jualan bagi projek didakwa bernilai RM8.3 juta itu disalurkan.

Menurut Kamaruzaman berkata, 20 unit komersil yang dibina secara usahasama oleh dua buah syarikat - Leader Domain Sdn Bhd dan Glomac Resources Sdn Bhd - habis dijual dengan status geran pegangan bebas.

"DPPWP mahu MAIWP bertanggungjawab bagi mendapatkan tanah gantian bagi tapak tanah masjid berkenaan untuk kegunaan umat Islam di Sri Hartamas yang sememangnya memerlukan sebuah masjid dan tempat kegiatan umat Islam," katanya.

Tambahnya, mereka tidak sepatutnya sekadar menumpang di Masjid Wilayah Persekutuan yang berada dalam kawasan Segambut.

Memorandum itu meminta MAIWP menjelaskan manfaat Glomac Galeria kepada masyarakat Islam di sekitar kawasan tersebut.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Anan berkata beliau berkata masih belum mempunyai jawapan terhadap soalan yang dibangkitkan itu.

"Kita akan panggil wartawan untuk jelaskan dalam masa terdekat," katanya yang belum menetapkan tarikh sidang media tersebut.

Beliau juga enggan menjawab soalan-soalan lain daripada pemberita sebelum beredar dari situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS