Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Lingam diungkit lagi di Parlimen
Diterbitkan:  Dec 16, 2009 12:36 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Isu peguam VK Lingam kembali mendominasi perbahasan Dewan Rakyat ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk

Seri Mohamed Nazri Aziz membentangkan Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008 untuk bacaan kali kedua semalam.

Mohamed Nazri dalam menjawab dakwaan dan tomahan daripada anggota parti pembangkang berkata siasatan suruhanjaya diraja bagi menyiasat isu klip video Lingam serta siastan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan.

Dari sudut perundangan, pelantikan hakim yang kononnya diatur oleh Lingam, sebenarnya dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Jawapan Mohamed Nazri mengundang kemarahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menganggap kenyataan menteri itu sebagai melampau dan memperbodohkan dewan.

Beliau berkata isu mengenai Lingam telah dibangkitkannya melalui Laporan Perwaja Steel pada tahun 1995 dan melahirkan rasa dukacita dengan cara kes itu dikendalikan.

Mohamed Nazri dengan secara spontan telah bangun menjawab: "Kalau Yang Berhormat sebagai bekas timbalan perdana menteri bawa kes ini pun tak selesai, jadi macam mana saya hendak selesai masalah ini."

Jawapan Mohamed Nazri disambut dengan ketawa oleh anggota parlimen, dan Anwar kemudian bangun meminta maaf dan melahirkan perasaan dukacitanya kerana gagal menyelesaikan masalah itu, dan berharap kepimpinan baru kerajaan dapat berbuat demikian.

Mohamed Nazri berkata jika Anwar mahu menolong menyelesaikan kes itu, beliau perlu ikhlas.

"Kalau nak tolong, tolonglah betul-betul, jangan tolong bagi jatuh kerajaan, kalau kerajaan jatuh, saya pun tak boleh selesai masalah," katanya.

Terdahulu, Mohamed Nazri berkata, rang undang-undang itu digubal bagi membolehkan tindakan diambil terhadap hakim yang didapati melanggar kod etika profesyen itu.

Persidangan dewan disambung hari ini. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS