kemaskini 2.51pm Seorang bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) hari ini dihadapkan ke mahkamah atas 24 tuduhan bersama menipu membabitkan RM116.85 juta, menjadi orang keempat yang didakwa dalam skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Law Jenn Dong, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen Klang hari ini dan dibenarkan diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin.
Beliau didakwa bersama-sama seorang lagi yang telah dituduh, arkitek Bernard Tan Seng Swee, dari BTA Architect, perunding projek berkenaan, yang telah didakwa pada Khamis lepas.
Law didakwa menipu Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bagi mendapatkan pengesahan pembayaran sebanyak RM116.85 juta kepada KDSB membabitkan dua projek besar di PKFZ.
Beliau menghadapi 15 pertuduhan memperdayakan LPK untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precinct 2 dan Precinct 8 bagi pembangunan PKFZ, Pulau Indah di Klang, telah dilaksanakan sedangkan beliau mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak dilaksanakan dan oleh itu telah curangnya mendorong LPK untuk mengesahkan pembayaran sebanyak RM70.583 juta kepada KDSB.
Law juga menghadapi sembilan lagi pertuduhan memperdayakan LPK untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrik untuk sistem 33kv bagi pembangunan PKFZ telah dilaksanakan sedangkan beliau mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak dilaksanakan dan oleh itu telah curangnya mendorong LPK untuk mengesahkan pembayaran sebanyak RM46.267 juta kepada KDSB.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, antara 30 Jun 2006 dan 30 Mei 2008.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh ketua unit pelucuthakan harta Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Dzulkifli Ahmad memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM1 juta serta seorang penjamin terhadap Law dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dan jumlah kerugian yang terlibat dalam kes itu.
Peguam Tan Hock Chuan ( kiri ), yang mewakili Law, pula memohon ikat jamin antara RM200,000 dan RM250,000 dengan mengambil kira anak guamnya dituduh bersama Tan di mahkamah yang sama dan dibenarkan diikat jamin RM250,000.
Hakim Yong Zarida Sazali kemudian membenarkan Law yang menamatkan tugasnya di KDSB pada September tahun lepas, dibebaskan dengan jaminan RM250,000 dan menetapkan kes itu disebut semula pada 4 Feb depan.
Law adalah pegawai kedua dari KDSB, yang merupakan kontraktor projek PKFZ itu, yang diheret ke mahkamah berhubung projek tersebut.
Pada Khamis lepas, bekas pengurus besar LPK Datin Paduka OC Phang dan dua yang lain mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama, masing-masing terhadap tuduhan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu berhubung skandal itu.
Phang mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM254.84 juta dan diikat jamin sebanyak RM350,000.
Steven Abok, ketua pegawai operasi KDSB, dan arkitek Tan didakwa bersama terhadap dua pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan RM5.42 juta.
Tan turut didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas terhadap 24 tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM122.27 juta.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata selepas pendakwaan ketiga-tiga itu, lebih ramai individu akan didakwa dan siasatan akan berterusan. BERNAMA