Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Manohara diperintah taat, bayar hutang RM1 juta
Diterbitkan:  Dec 13, 2009 4:03 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu hari ini memerintahkan Manohara Odelio Pinot supaya kembali taat dan membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250 kepada suaminya Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.

tengku fakhry manohara odelia pinot 260609 Hakim Syarie Mohd Yusof Awang berkata perintah itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja Tengku Muhammad Fakhry (kanan) melafazkan sumpah "Yamin Istizhar" (sumpah jelas) di mahkamah itu pada 3 Januari tahun depan.

Ketika membacakan penghujahan penghakiman lebih sejam itu, Mohd Yusof memerintahkan hukuman kembali taat terhadap Manohara itu berkuat kuasa dalam tempoh 14 hari selepas suaminya melafazkan sumpah tersebut.

Manohara yang memakai gelaran Cik Puan Temenggong, juga perlu membayar jumlah hutang itu secara sekali gus dalam tempoh 30 hari selepas selesai sumpah berkenaan disempurnakan.

"Saya berpuas hati dengan segala keterangan pihak plaintif termasuk keterangan saksi sebelum ini dan setelah mengambil kira semuanya, pihak defendan perlu kembali taat dan membayar hutang kepada suaminya Tengku Temenggong Kelantan," kata Mohd Yusof.

Pada prosiding ini, Tengku Temenggong turut hadir mendengar keputusan tersebut tanpa kehadiran isterinya itu.

Manohara juga tidak diwakili mana-mana peguam selepas peguamnya sebelum ini Mohd Faiz Adnan dan Roshdan Sujak Rafie menarik diri daripada mewakilinya pada 3 November lepas.

manohara odelia pinot jakarta 100609 Sewaktu membacakan penghakimannya, Mohd Yusof berkata tindakan Manohara (kiri) yang melarikan diri ke Indonesia dan membuat kenyataan berbaur fitnah di media massa negara itu adalah suatu tindakan yang salah di sisi Islam sedangkan beliau telah

dilayan dengan sebaik mungkin semasa tinggal bersama suaminya di Istana Mahkota di Kota Bharu.

"Apa yang dinikmati defendan itu tidak dapat diperoleh wanita lain dan sepatutnya berterima kasih kepada plaintif dan keluarga diraja tanpa membuat fitnah di media massa yang juga tersiar di Internet.

"Plaintif telah menjalankan tugasnya sebagai seorang suami dengan sempurna dan tidak wujud soal penderaan semasa berada di sini dan jika kesemua telah dilakukan dengan sempurna oleh plaintif, tidak ada sebab bagi defendan melakukan tindakan sedemikian," katanya.

Mohd Yusof berkata jika Manohara, yang juga seorang model di Indonesia, enggan kembali taat dalam tempoh 14 hari itu nanti, beliau mengikut undang-undang Islam merupakan isteri derhaka, nusyuz dan tidak berhak mendapat apa-apa keistimewaan lain daripada suaminya.

Mengenai tuntutan hutang, Mohd Yusof berkata disebabkan Manohara gagal hadir ke mahkamah untuk memberi kenyataan, mahkamah menyifatkan penafian Manohara bahawa wang itu merupakan pemberian oleh suaminya sebagai tidak relevan.

"Saya telah teliti dokumen dan wujud transaksi pemindahan wang kepada defendan dan mahkamah bersetuju dengan keterangan pihak plaintif yang boleh diterima pakai dan direkodkan," katanya.

Ketika di luar mahkamah, Tengku Temenggong melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan tersebut dan meminta semua pihak menerima baik keputusan berkenaan.

"Semua pihak perlu menghormati keputusan ini," katanya.

Sewaktu ditanya apakah beliau masih mengharapkan Manohara agar kembali taat kepadanya, Tengku Temenggong berkata: "Ya, sudah tentu". - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS