Parti Hak Asasi Manusia (HRP) menggesa kerajaan negeri Kedah supaya menggugurkan rancangannya untuk memindahkan kawasan perkuburan Hindu di Kuala Ketil.
Kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang ditunjangi parti PAS itu, bercadang membina bangunan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, bagi setiausaha agung penaja PRM, P Uthayakumar, perkuburan tersebut merupakan sebahagian daripada sejarah masyarakat India di Kedah dan mahu ianya dikekalkan.
Berikutan itu, beliau menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mewartakan kawasan seluas 0.8 ekar itu supaya kekal sebagai tanah perkuburan Hindu.
Menurutnya, Azizan boleh menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara dan Seksyen 3 Akta Pengambilan balik Tanah untuk mengekalkan perkuburan Hindu tersebut.
Uthayakumar mendakwa, fakta sejarah dan rekod Straits Settlement menunjukkan bahawa kawasan tersebut telah dijadikan tanah perkuburan Hindu bagi pekerja estet sejak zaman penjajah lagi.
"Tanah ini adalah pemberian British kepada penganut Hindu yang bekerja di estet.
"Penganut Hindu di Kuala Ketil terus menggunakan tanah perkuburan itu hingga ke hari ini, walaupun selepas estet mereka tidak ada lagi," katanya.
Uthayakumar berkata, tanah perkuburan Hindu di Ladang Batu Pekaka, Kuala Ketil, merupakan warisan lebih 100 tahun sejarah masyarakat India di Kedah.
Sejak itu, katanya, mereka tinggal, bekerja dan meninggal dunia di Kedah.
"Mereka mempunyai hak untuk mengekalkan tanah perkuburan tersebut," kata Uthayakumar dalam surat terbukanya kepada menteri besar Kedah, semalam.
Bagaimanapun, ketika dihubung, exco perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, masyarakat Siam, India, pekerja ladang serta perpaduan, S Manikumar, menafikan usia perkuburan Batu Pekaka seperti yang dikatakan itu.
"Berdasarkan rekod kita, ianya digunakan secara haram sejak tahun 1970-an," kata Manikumar kepada Malaysiakini.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak bercadang untuk meratakan tanah perkuburan itu tanpa membayar sebarang pampasan.
Katanya, sejumlah RM3,000 telah diperuntukan sebagai pampasan bagi setiap waris kubur dan kerajaan negeri juga bersetuju membiayai kos pemindahan kubur, dari Batu Pekaka ke kawasan berhampiran seluas sembilan ekar di Padang Geh.
Manikumar mendakwa, beliau telahpun mendapat persetujuan bertulis dari majoriti masyarakat Hindu di Kuala ketil untuk berbuat demikian.
[Baca berita penuh]