Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz jawab Nik Aziz isu menantu
Diterbitkan:  Dec 10, 2009 8:08 PM
Dikemaskini: 5:16 PM

kemaskini 11.25pm Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar hari ini sekali lagi mempertahankan pandangannya agar menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digugurkan segera daripada menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

"Saya kira tak sulit untuk melepaskan jawatan ini, kalau kita rujuk Seksyen 12 Akta Perkerjaan 1955 menerangkan bagaimana kita nak menamatkan kontrak dan pihak majikan (Abdul) Ariffahmi (Ab Rahman) boleh menggunakannya untuk beri tiga bulan gaji kepada dia untuk terus berundur," beliau dipetik berkata di lobi Parlimen.

Tambahnya, seperti dilaporkan Bernama , beliau tidak tersinggung dengan menteri besar Kelantan, juga sebagai pengerusi PMBK, yang menyifatkan kenyataannya hanya memberi peluang kepada Umno "berpesta".

azlan Nik Abdul Aziz hari ini dilaporkan berkata Mahfuz cuba memandai-mandai dalam pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sedangkan peletakan jawatan Abdul Ariffahmi telah diputuskan bersama oleh beberapa pemimpin kanan PAS.

Pada 23 November lalu, susulan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tiga lagi pemimpin atasan parti, Nik Abdul Aziz mengarahkan menantunya itu melepaskan jawatan ketua pegawai eksekutif PMBK.

Pada 3 Disember lalu, Abdul Ariffahmi berkata beliau akan menghantar notis peletakan jawatan pada 24 Disember ini dan pemberhentiannya akan efektif mulai 23 Mac tahun depan.

Tempoh yang panjang itu dipertikaikan sesetengah pihak termasuk bekas pegawai perhubungan korporat PMBK Syed Azidi Syed Abdul Aziz - penulis blog Kickdefella yang bertembung secara terbuka dengan Abdul Ariffahmi - yang menyifatkan rancangan pengundurannya sebagai "sandiwara Nik Abdul Aziz" untuk melengah-lengahkannya.

Susulan itu, awal minggu ini, Mahfuz pula menggesa Abdul Ariffahmi berhenti segera demi menjaga etika korporat PMBK dan mengurangkan kontroversi, yang sehingga kini berlarutan lebih sebulan.

Semalam Mahfuz berkata desakannya dibuat kerana beliau tidak mahu cercaan terus ditujukan kepada Nik Abdul Aziz, dan sekali gus memberikan kesan negatif kepada PAS, ekoran kontroversi menantunya itu.

ADS