Pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim hari ini menyaman penulis blog popular Datuk A Kadir Jasin kerana didakwa memfitnahnya sebagai "pengacau" dalam parti itu, Oktober lalu.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri menuntut bekas tokoh media itu membayar ganti rugi dan memohon maaf kepadanya berhubung artikel 'Zaid, the Hurricane Hattie of PR' di blognya pada 21 Oktober lalu.
Dalam samannya, Zaid (kiri) juga memohon injunksi menghalang Kadir atau ejennya mengulas lanjut isu tersebut.
Kadir memaklumkan kepada pembaca blognya The Scribe dalam artikel terbarunya petang ini agar pemberi komen tidak menyentuh isu tersebut yang menjadi pertikaian antara mereka berdua.
"Oleh sebab kes ini adalah kes mahkamah, maka saya tidak akan menyiarkan sebarang komen yang menyentuh atau memberi kesan kepada saman Zaid itu.
"Dalam erti kata yang lain, hak sivil kita semua yang mengambil bahagian dalam blog ini menjadi terhad akibat daripada saman itu. Jadi berhati-hatilah," kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press.
Menurut Kadir, beliau telah pun meminta peguamnya bertindak ke atas saman itu.
Katanya, Zaid telah menjawab tulisannya itu dalam blognya pada hari yang sama pada 21 Oktober dengan tajuk “Kalau Hati Dah Busuk.....”
Beliau mendakwa, dalam tulisan tersebut, Zaid telah membuat beberapa tuduhan dan andaian mengenai dirinya.
Bagaimanapun, kata Kadir (kiri), tidak sedikit pun terlintas di fikirannya untuk menghalang atau menyekat kebebasan Zaid, apatah lagi mengambil tindakan undang-undang.
“Sebagai seorang blogger, saya percaya kepada hak dan kebebasan bersuara. Malah saya bergembira jika beliau juga menjawab dan berbahas dalam blog saya,” tambahnya.