Penglibatan anak perempuan menteri besar Kelantan dalam pertembungan terbuka antara suaminya dan blog Kickdefella kini mengundang lebih banyak kritikan terhadap kepemimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Blog-blog yang anti-pembangkang mengambil kesempatan daripada isu tersebut dengan mengaitkannya dengan amalan nepotisme, sekali gus cuba menggambarkan kelemahan kepimpinan menteri besar itu.
Blog Ruang Bicara Faisal menyifatkan keluarga Nik Aziz sekarang umpama "cacing kepanasan" sehingga menyebabkan anaknya Nik Amalina, yang tidak pernah bersuara, menghantar luahan rasanya di blog wakil rakyat PAS Dr Siti Mariah Mahmud.
Sebagai reaksi kepada tulisan 'Kesetiaan dan pengorbanan seorang isteri' hujung bulan lalu, blog itu berkata tulisan Nik Amalina menimbulkan rasa pelik kerana seolah-olah ahli keluarga Nik Abdul Aziz "kehilangan sesuatu yang berharga" apabila suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman tidak lagi menerajui Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
"Walaupun meloyakan, tetapi saya tetap berterima kasih kepada Nik Amalina dan juga Dr Mariah kerana mencelarukan lagi keadaan PAS serta memudahkan kerja kami (menyerang parti itu)," coret penulisnya dalam artikel 'Keluarga Nik Aziz dah jadi cacing kepanasan'.
Sementara blog Masterdedah pula menyifatkan penulis Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz – musuh Abdul Ariffahmi – sebagai "petugas bawah tanah" kepada exco kanan Kelantan, Datuk Husam Musa yang didakwa berdiam diri kerana tidak mahu dilihat anti-keluarga Nik Aziz.
"Petugas underground (bawah tanah) ini tidak difahami tugasnya oleh (Abdul) Ariffahmi. Inilah jadinya kalau seorang yang ditugaskan untuk gerak saraf berpaling tadah.
"Tentulah ini tidak akan difahami oleh Nik Amalina yang hanya tahu sebagai isteri Ariffahmi," coretnya.
Blog Warisan 2057 pula mengkritik Nik Amalina yang dikatakan gagal memahami isu nepostisme yang melibatkan ahli keluarganya.
"Dengan sebab itu Nik Amalina gagal mengupas isu tersebut melainkan bermain retorik (dan) melayan emosinya sahaja.
"Untuk menyedapkan permainannya, dia mengait-ngaitkan dengan ajaran Islam. Macam orang lain tidak mengaji," kata penulisnya, yang memperkenalkan diri sebagai Proharakah.
Blog itu juga mendakwa, luahan perasaan Nik Amalina itu dengan sendirinya "memberi pengakuan, tanpa keraguan yang munasabah" bahawa Nik Abdul Aziz "dengan sengaja, bersungguh-sungguh mengamalkan kronisme" dengan melantik Abdul Ariffahmi.
Ia membuat andaian itu berdasarkan tulisan Nik Amalina yang menyebut, pelantikan suaminya disokong bapanya Nik Abdul Aziz selepas perkara itu disuarakan sebanyak empat kali.
"Jadi kesimpulan akhirnya saya tidak nampak langsung hujah Nik Amalina yang dapat kita kaitkan dengan peranan keluarga ustaz ini (Nik Abdul Aziz) untuk agama, bangsa dan tanahair.
"Semata-mata berkisar pada kepentingan keluarga sahaja," kata penulisnya.
Sementara dalam blog yang tidak jelas pendirian politiknya Dunia Cacamarba , penulis Tayadih Maysia menyarankan Abdul Ariffahmi menyaman Syed Azidi bagi membersihkan diri dan nama bapa mertuanya.
"Orang ramai tertanya-tanya dan berasa agak pelik kerana sehingga kini masih belum kedengaran Tuan Sheikh (Syed Azidi) disaman oleh tuan badan yang dikatakan difitnah oleh Tuan Sheikh," katanya.
Syed Azidi turut dikenali sebagai Sheikh di kalangan teman-teman rapatnya.
Dalam artikel 'Saman sahajalah Tuan Sheikh itu', Tayadih Maysia hanya menyindir Nik Amalina dengan berkata:
"Banyak bercakap memberikan peluang kepada orang ramai menilai keperibadian dan perwatakan anda sebagai orang yang baik-baik."
Blog Kelab Greenboc pula berkata, Dr Mariah yang menyiarkan luahan perasaan Nik Amalina itu sepatutnya menasihatinya supaya mengadu kepada Nik Aziz sendiri daripada membiarkan anaknya itu "merapu-merapu".
"Sepatutnya YB Dr (Mariah) perlu menasihatinya bahawa ayahanda Nik Amalina sendirilah sepatutnya tempat mengadu.
"Ayahandanya seorang ulama disegani..., apa perlu Nik Amalina mengadu kepada orang lain tetapi membelakangkan ayahandanya sendiri?" coretnya semalam.
Blog itu turut mendakwa, Syed Azidi sebagai "orang yang dimusuhi" suami wanita itu, telah membawa bukti berhubung "gelagat dan perangai" Abdul Ariffahmi.
Abdul Ariffahmi dan Dr Siti Mariah ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengulas berhubung artikel Nik Amalina dan juga penjelasan ahli parlimen PAS itu di blog tersebut.