Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dasar 50% kuota bumiputera ditangguh
Diterbitkan:  Dec 7, 2009 11:26 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Pelaksanaan dasar baru perumahan di Kedah yang menetapkan kuota 50 peratus untuk bumiputera, ditangguhkan sehingga satu garis panduan baru yang lebih jelas dikeluarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan wakil-wakil NGO dan parti-parti politik pelbagai kaum.

"Tangguh dulu pelaksanaan kuota 50 peratus ini sebab nampak ada pihak tak puas hati dengan dasar ini dan kita akan cari kaedah yang lebih munasabah untuk menyelesaikan masalah ini.

"Kita tak mahu ada yang kata dasar yang dibuat ini, tidak adil dan isu perumahan jadi berlarutan, sebab kuota 50 peratus tu bukan dasar umum, yang beri gambaran seolah-olah semua keadaan tanah mesti ada 50 peratus kuota untuk bumiputera," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Katanya, kerajaan negeri menetapkan dasar berkenaan bagi tanah rizab Melayu yang ditukar ganti menjadi milik bebas bagi memastikan rumah yang dibina dapat dimiliki semua golongan rakyat, di samping menggambarkan penempatan berbilang bangsa berdasarkan komposisi kaum di kawasan berkenaan.

Phahrolrazi berkata, penetapan kuota berkenaan juga perlu dilihat dari pelbagai aspek supaya ia tidak menjadi isu kerana hasrat kerajaan adalah untuk menjamin semua golongan rakyat boleh memiliki rumah pada harga mampu milik di sesuatu penempatan.

"Yang penting, kerajaan juga nak jamin kaum bukan Melayu yang duduk dalam kawasan rizab Melayu ni, ada rumah dan kita tak bagi tukar ganti atau swap tanah sewenang-wenangnya kalau tidak ada keperluan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan kerajaan negeri menaikkan peratusan kuota Bumiputera bagi pemilikan perumahan di Kedah, daripada 30 peratus kepada 50 peratus berkuat kuasa 1 September tahun lalu.

Azizan berkata keputusan berkenaan dibuat memandangkan bilangan kaum Melayu atau bumiputera adalah 1.5 juta daripada 1.9 juta rakyat Kedah, maka menurutnya wajarlah diimbangkan dengan polisi tersebut.

Pengumuman dasar baru berkenaan mengundang rasa tidak puas hati serta bantahan dari pelbagai pihak termasuk parti-parti politik dan NGO di negeri ini. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS