Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 1.32pm Membalas bantahan sekumpulan penyokong Umno terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Selasa lalu, ribuan penyokong menteri besar itu hari ini mengadakan satu demonstrasi di Kota Bharu.

Perhimpunan itu diadakan di Jalan Dato' Pati bermula jam 10 pagi tadi, sejurus selepas kuliah mingguan tokoh besar PAS itu di depan pejabat perhubungan PAS Kelantan.

NONE Para penyokong Nik Abdul Aziz memakai lilitan kepala warna merah bertulisan putih "We Love Tok Guru" sambil mendengar ucapan beliau, exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, pemimpin Pemuda PAS Dr Rosli Alani Abdul Kadir dan beberapa pemimpin lain.

Beberapa sepanduk lain dilaporkan turut dipamerkan, antaranya bertulis, "Kita Sayang Tok Guru Kita", "Kami Menyokong Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz" dan "Royalti bui-builah" (bagi-bagilah).

Beberapa saksi di tempat perhimpunan itu memberitahu Malaysiakini , anggota-anggota polis dilihat mengawal sepanjang jalan tersebut.

Dalam ucapannya, seperti disiarkan secara langsung melalui Internet, Nik Abdul Aziz antaranya menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi. Selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai pecah perut orang itu," kata mursyidul am PAS, dengan sorakan para penyokongnya.

Nik Abdul Aziz mengaitkan perkara itu dengan bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

"Ada (ahli masyarakat) yang kata hendak buat pesta minum arak. Bila wartawan tanya saya (perkara itu), saya kata, bagi dia minum sampai pecah perut," katanya, disambut gelak ketawa penyokong.

Tambahnya, hasil penjelasan itu, semua pihak menyambut baik tindakan kerajaan negeri.

Selasa lalu, ratusan penyokong Umno, yang diketuai seorang pemimpin bahagian Pasir Mas, mengadakan demonstrasi di depan kompleks Kota Darulnaim bagi mendesak Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ugutan untuk berdoa bala terhadapnya.

Mereka, yang menggunakan nama Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan, juga mendesak menteri besar melepaskan jawatannya.

NONE Nik Abdul Aziz menyatakan hasratnya untuk berdoa sedemikian sebagai reaksi terhadap keengganan kerajaan persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar menyerahkan wang ehsan.

Sementara itu, mengulas kritikan terhadap kepimpinannya akhir-akhir ini, Nik Abdul Aziz berkata, serangan itu dibuat ekoran "rasa cemas" BN dalam usaha menutup masalah dalaman parti-parti komponennya.

"Dia (BN) hendak tipu budak-budak dengan hantu boleh. Tetapi hendak tipu pengundi Kelantan tidak boleh," katanya.

Perhimpunan sejam itu berakhir dengan laungan takbir para penyokongnya. Tiada sebarang perarakan dibuat, walaupun terdapat ura-ura mengenainya sebelum ini.

Kepemimpinan Nik Abdul Aziz akhir-akhir ini menerima pelbagai kritikan susulan beberapa isu, antaranya pelantikan menantunya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pengarah eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan tajaan haji daripada seorang kontraktor.

Anak syarikat kerajaan (GLC) itu juga sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dan salah guna kuasa.

Belum reda isu itu, Nik Abdul Aziz menimbulkan pula kontroversi baru apabila mendakwa terdapat usaha menjatuhkannya yang didalangi oleh seorang pegawai tentera yang dikenali sebagai "Kolonel Mat."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS