Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas isteri ADUN PAS mohon penterjemah
Diterbitkan:  Dec 3, 2009 3:14 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Kerana tidak fasih berbahasa Melayu, warga Kemboja, Siti Aishah Chou Abdullah, 25, hari ini memohon kepada Mahkamah Tinggi

Syariah Kota Bharu agar menyediakan seorang jurubahasa bagi membolehkan beliau menjawab soalan berhubung kes tuntutan mutaah terhadap bekas suaminya, ADUN Melor, Wan Ismail Wan Jusoh.

Permohonan itu dikemukakan melalui peguamnya Sibri Ismail di hadapan hakim Abdullah Man dalam prosiding perbicaraan kes tuntutan mutaah RM3 juta yang dituntut warga Kemboja itu.

NONE Abdullah kemudiannya meluluskan permohonan Siti Aishah (foto) yang sedia memberi surat sokongan untuk mendapatkan khidmat jurubahasa itu daripada Jabatan Imigresen.

Menurut Sibri, anak guamnya itu memerlukan khidmat jurubahasa Kemboja iaitu bahasa ibundanya kerana tidak memahami dan bercakap dengan lancar bahasa Melayu untuk menjawab persoalan dalam prosiding mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, Wan Ismail tidak hadir kerana sedang menunaikan fardu haji dan diwakili peguamnya Mohd Raziman Yaccub.

Abdullah kemudiannya menangguhkan kes itu sehingga 11 Mac dan 1 April tahun depan untuk sambungan perbicaraan tuntutan tersebut.

Dalam prosiding sebelum ini pada 19 Nov lepas, Siti Aishah berkata beliau yakin Wan Ismail mampu membayar tuntutan mutaah sebanyak RM3 juta itu kerana bekas suaminya itu pernah memberitahunya beliau mempunyai wang simpanan sebanyak RM1 juta dalam bentuk saham amanah termasuk aset yang lain.

Tuntutan mutaah mengikut peruntukan Enakmen Keluarga Islam Tahun 2002 itu difailkan oleh Siti Aishah pada Januari lepas sebagai pampasan atau sagu hati bagi menjaga kebajikan dirinya dan kedua-dua anaknya Wan Ahmad Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS