Dewan Pemuda PAS mempertahankan tindakan pemimpinnya membuat laporan polis agar mengambil tindakan menghalang demonstrasi tetapi Angkatan Muda PKR pula tidak bersetuju dengan sikap sedemikian.
Ketua dewan itu Nasrudin Hassan diminta mengulas perhimpunan mendesak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletakkan jawatan semalam.
Sementara ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin diminta mengulas demonstrasi Pemuda BN terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kelmarin.
Nasrudin berkata pemimpin Pemuda Kelantan berhak berbuat demikian untuk memastikan keselamatan terjamin semasa demonstrasi anjuran kumpulan Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) itu berlangsung di Kota Bharu.
"Kita berhak untuk buat laporan polis, tapi itu tidak bermakna kami menghalang perhimpunan. Mereka bebas untuk berhimpun selagi perhimpunan itu aman," katanya.
Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Hisam Fauzi dilaporkan berkata dewan itu "menggesa polis supaya mengambil tindakan pencegahan bagi mengelak perhimpunan ini" dan menyifatkan ia bertujuan "mengganggu gugat kestabilan politik" di negeri itu.
Nasrudin bagaimanapun menjelaskan, laporan itu dibuat untuk memaklumkan kepada pihak berwajib menyiasat kewajaran perhimpunan tersebut diadakan.
"Kita tidak mahu polis tidak bertindak dan lepas tangan sebab kami tidak buat laporan, sebab selalunya polis tidak akan bertindak tanpa laporan," kata Nasrudin.
Tambahnya lagi, laporan tersebut akan membolehkan polis mengambil langkah sewajarnya, termasuk membuat kawalan semasa demonstrasi itu diadakan di perkarangan Kota Darulnaim.
"Kemudian terpulanglah kepada pihak polis sama ada untuk halang perhimpunan atau tidak. Saya pun tidak setuju kalau polis buat tangkapan kalau mereka berhimpun secara aman.
"Kita tidak mahu sekiranya berlaku rusuhan, kerosakan harta awam ataupun ancaman keselamatan kepada menteri besar dan pegawai-pegawai kerajaan," tambahnya.
Katanya lagi, beliau masih menunggu maklumat lanjut daripada Pemuda PAS Kelantan untuk mendapat gambaran sebenar.
Sementara Shamsul Iskandar pula sangsi sama ada benar Angkatan Muda PKR Pulau Pinang membuat aduan polis untuk mendesak penganjur disiasat seperti dilaporkan media.
"Saya tidak yakin laporan polis yang dibuat itu bertujuan menggesa polis menahan para peserta demonstrasi. Ia tidak pernah ada dalam polisi Pakatan Rakyat," katanya.
Semalam Naib Ketua Angkatan Muda PKR negeri, Ahmad Azrizal Tahir dilaporkan membuat aduan di balai polis Lebuh Pantai, menggesa pihak berwajib itu mengambil tindakan terhadap dalang demonstrasi tersebut.
Shamsul Iskandar menambah, parti-parti dalam kerajaan Pakatan Pulau Pinang menghormati hak sebarang pihak untuk berhimpun, seperti sikap yang diambil terhadap demonstrasi anjuran BN di negeri itu.
"Sudah banyak demonstrasi yang dibuat sebelum ini ke atas kerajaan negeri, seperti di Kampung Buah Pala dan juga oleh Umno, tidak timbul masalah (seperti ini).
"Kita hormati hak semua pihak untuk adakan perhimpunan dan (sikap) ini diterjemahkan di semua negeri yang kita perintah," kata Shamsul Iskandar.
Tambahnya, beliau juga masih menunggu penjelasan lanjut Angkatan Muda PKR negeri itu berhubung aduan polis tersebut – yang dianggap tidak konsisten dengan pendirian Pakatan Rakyat yang sering menganjurkan perhimpunan.
"Tadi saya cuba hubungi mereka masih belum berjaya," katanya.