Dewan Pemuda PAS (DPP) Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang penulis blog bahawa pemimpin dewan tersebut hidup mewah serta memiliki kereta mewah.
Timbalan DPP Selangor, Ahmad Zaidy Abd Mutalib berkata mereka, khususnya pemimpin dewan tersebut, tidak pernah hidup dalam kemewahan, seperti dakwaan tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, mereka hidup sederhana, termasuk bekerja sendiri, dan tidak ada yang berjawatan besar dalam kerajaan negeri Selangor.
Selain bekerja sendiri, tambahnya, ada juga yang menjadi guru agama KAFA dan ahli majlis kerajaan tempatan, dengan elaun RM400 sebulan.
Beliau diminta mengulas dakwaan penulis blog Abdul Rahman Talib, yang lebih dikenali sebagai Tulang Besi, mengenai perkara itu dalam blognya Malaysia Waves hari ini.
Abdul Rahman mendakwa beliau "rasa pelik kenapa pemuda-pemuda (PAS) Selangor boleh tukar kereta mewah sedangkan pada Hari Raya Haji baru-baru ini, tiada bonus yang diberikan kepada guru-guru PASTI di Selangor?
"Bukankah wang yang lebih itu sepatutnya digunakan untuk jemaah dan untuk Islam? Dari beli Mercedes, misalnya, apa salah beli Avanza atau Exora? Kemudian duit lebih itu (boleh) bayar rumah."
Menurut Tulang Besi lagi, beliau membangkitkan isu tersebut bertujuan untuk mencegah budaya bermewah-mewah dalam PAS.
Penulis blog itu seorang aktivis yang rapat dengan PAS dan sering mendedahkan konflik dalaman parti itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zaidy menyifatkan tulisan Tulang Besi itu sebagai "mengarut dan berniat jahat" kerana mengaitkan perkara itu dengan PAS.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan pula, ketika dihubungi berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan menghubungi Pemuda PAS Selangor untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai dakwaan tersebut.
"Secara umumnya, pejuang-pejuang Islam diajar hidup secara sederhana.
"Kalau ada yang tukar-tukar (kereta), hidup mewah, saya rasa tidak berlaku. Bagaimanapun, kita akan siasat," katanya.