Sidang DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul tergempar mengutuk sekeras-kerasnya demonstrasi semalam yang dianjurkan oleh sekumpulan anggota Pemuda BN.
Wakil rakyat DAP RSN Rayer (Seri Delima) mengusulkan usul tersebut pagi ini bagi mengecam bantahan selama 45 minit itu di luar pagar bangunan dewan tersebut.
Usul itu diluluskan selepas semua 29 ADUN Pakatan Rakyat menyokong usul tersebut, manakala 11 wakil rakyat BN menentangnya.
Kumpulan Pemuda BN Pulau Pinang itu berhimpun sebagai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng yang didakwa lemah dan tidak cekap menyelesaikan masalah rakyat dan gagal menunaikan janji pilihan raya umum.
Demontrasi itu yang diketuai Ketua Pemuda Umno negeri, Norman Zahalan, membawa beberapa kain rentang dan poster yang menghentam kerajaan negeri kerana gagal menyelesai beberapa isu termasuk Kampung Buah Pala, Rumah Hijau Mak Mandin dan juga projek kontroversi menebus guna tanah.
Seorang yang menyertai kumpulan turut bertindak memijak dan membakar poster Lim.
Sebelum itu, pemimpin Angkatan Muda PKR negeri Ahmad Azrizal Tahir membuat aduan di balai polis Lebuh Pantai, menggesa pihak berwajib itu mengambil tindakan terhadap dalang demonstrasi tersebut.
Dalam laporan polisnya, Azrizal mendakwa penunjuk perasaan itu mengeluarkan kenyataan berbau menghasut dan juga bersifat perkauman.