Selepas kontroversi dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) - yang membawa kepada peletakan jawatan menantu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - kini meledak pula isu kelemahan urus tadbir kerajaan tempatan di negeri itu.
Isu itu dianggap panas apabila akhbar web rasmi PAS, Harakahdaily - yang melaporkan dakwaan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) enggan membayar untuk kerja lebih masa kakitangannya - dikeluarkan dari lamanweb itu tidak sampai sejam selepas disiarkan.
Difahamkan, berita bertajuk "Pekerja bawahan MPKB-BRI dakwa majikannya enggan bayar OT" disiarkan kira-kira jam 10 pagi tadi.
Bulan ini, beberapa kontroversi melanda PMBK yang membawa kepada peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif PMBK, Abdul Ariffahmi Abd Rahman yang juga menantu Nik Aziz pada Isnin lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula menyerbu PMBK dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan (GLC).
Dalam berita Harakahdaily yang ditarik balik itu, beberapa kakitangan kontrak MPKB mendakwa kerja lebih masa mereka digantikan dengan cuti dan bukan dibayar tunai.
Laporan memetik seorang pekerja bawahan yang memberitahu majikan mereka seringkali memberitahu MPKB tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung kos kerja lebih masa.
Laporan itu juga menyebut mereka - antaranya pemimpin PAS kawasan - mendakwa diugut dibuang kerja sekira terus membangkitkan isu tersebut.
Kakitangan tersebut turut mendakwa MPKB melakukan pemborosan dengan menganjurkan program 'lawatan sambil belajar' ke pelbagai negara.
Tindakan Harakahdaily menarik balik berita tersebut disedari oleh beberapa penulis blog di Kelantan yang turut mengulas mengenainya.
Pemilik blog Perisik Rakyat - yang dikenali sebagai Topeng Perak Unmasked - antaranya berpendapat masalah itu berpunca apabila lantikan ahli majlis dibuat oleh ahli politik.
"(Mereka) pilih orang-orang yang senang hendak"dicucuk hidung" supaya "agenda masing-masing" dapat dijalankan," tulisnya hari ini.