Seorang pelajar berumur 15 tahun dari Kampung Taman Tasik, Kuala Besut hari ini menjadi korban pertama banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu sejak Isnin lepas.
Mohd Syahmi Mohd Yusof, pelajar Tingkatan Tiga SM Kuala Besut, dipercayai dihanyutkan arus deras Sungai Pengkalan Ubi Keling ketika bersama-sama dua rakannya berenang untuk mengangkat jaring ikan yang dipasang mereka petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Roslan Hasan berkata dalam kejadian pada 10 pagi itu, Mohd Syahmi dilihat oleh dua rakannya dalam keadaan terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus.
Menyedari kehilangan Mohd Syahmi, dua rakannya segera meminta bantuan penduduk kampung yang menjalankan usaha mencari dengan menggunakan khidmat penyelam.
Mayat Mohd Syahmi ditemui di dasar sungai sejam kemudian tidak jauh dari tempat kejadian.
Gelombang pertama banjir di Terengganu sebelum ini meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun di Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, 7 Nov lalu. BERNAMA