Tabung Haji akan berusaha mempertahankan kos mengerjakan haji dengan mengikat perjanjian sewaan dan pajakan bangunan untuk
jangka masa lebih panjang dengan pemilik bangunan di kota Mekah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brig Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata buat masa sekarang itulah sahaja cara yang boleh dilakukan oleh Tabung Haji untuk terus mengekalkan kos mengerjakan haji.
“Memandangkan jemaah haji Malaysia ialah sekitar 26,000 orang, bermakna Tabung Haji terpaksa mencari dan menyewa bangunan hotel yang pelbagai untuk disewa bagi tempoh antara 10 hingga 15 tahun.
“Ini sudah pasti akan melibatkan perbelanjaan yang besar,” katanya kepada petugas media Tabung Haji selepas melawat pejabat operasi Tabung Haji di bangunan Janadriah di Mekah hari ini.
Beliau ditanya mengenai kos sewaan bangunan di Mekah yang meningkat dari setahun ke setahun serta perancangan Tabung Haji untuk terus mengekalkan kos mengerjakan haji yang kini sekitar RM10,000 seorang memandangkan ia banyak dipengaruhi oleh faktor sewaan bangunan dan pengangkutan.
Ditanya mengapa Tabung Haji tidak memiliki bangunannya sendiri, Jamil Khir berkata adalah menjadi dasar kerajaan Arab Saudi untuk tidak membenarkan warganegara asing memiliki bangunan dan hartanah di negara itu terutamanya di Mekah dan Madinah dan rakyat asing hendaklah menyewa bangunan daripada rakyat tempatan.
Bagi musim haji tahun ini Tabung Haji menyewa 10 bangunan di sekitar kota Mekah yang dijadikan tempat penginapan jemaah haji atau Maktab Tabung Haji.
Dalam pada itu, Jamil Khir berkata kerajaan Malaysia menghargai komitmen kerajaan Arab Saudi untuk terus mempertahankan kos mengerjakan haji pada kadar seminimum mungkin.
Kerajaan Malaysia juga, katanya, menghargai pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan Arab Saudi bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji termasuk pembesaran Masjidil Haram, Jamrah serta pembinaan monorel yang menghubungkan Mekah, Arafah dan Mina.
Mengenai operasi pengendalian jemaah haji, Jamil Khir berkata pihak Tabung Haji telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terutama dalam menjaga kebajikan jemaah serta mewujudkan dua hospital di tanah suci bagi membolehkan jemaah haji yang sakit mendapatkan rawatan kesihatan dengan sempurna. BERNAMA