Travelog Ini adalah kali pertama saya akan memijak kaki di Komunitas Utan Kayu, Jakarta Timur. Dalam perjalanan ke sana, saya membayangkan ia seperti juga Komunitas Salihara, yang kami kunjungi dua hari lalu.I
Saya melangkah melewati pintu pagar Komunitas Utan Kayu, kelihatan sebuah deretan bangunan rumah kedai. Kami ditegur ramah oleh pengawal yang menanti ketibaan kami dan terus membawa kami masuk, terus menghala ke belakang bangunan rumah kedai itu.
Rupa-rupanya pejabat Jaringan Islam Liberal (JIL) terletak di bahagian belakang deretan rumah kedai tersebut. Komunitas Utan Kayu saling tidak tumpah konsepnya dengan Komunitas Salihara. Kami melalui sebuah kedai buku dan sebuah kafe sebelum menaiki tangga menuju pejabat JIL.
Sebenarnya rombongan kami tiba terlewat setengah jam daripada masa yang dijanjikan iaitu jam 4.30 petang. Selepas mendaftar di buku pelawat, kami terus memasuki sebuah bilik.
Di situ, seorang pemuda tegap, tinggi dan berkaca mata mengukir senyuman manis menerima kedatangan kami. Dia adalah Ulil Abshar Abdalla, pengasas dan tokoh muda Islam liberal. Ulil Abshahr mempersilakan kami duduk.
Dalam pertemuan itu, Ulil Abshar yang sedang menuntut di Universiti Havard, turut menjelaskan sejarah penubuhan JIL"untuk mengkritik kumpulan konservatif agama, meluncurkan idea negara Islam, pelaksanaan undang-undang Islam dan pelakuan kekerasan atas nama agama".
Katanya, JIL ditubuhkan berorientasikan "identiti intelektual", "tidak berhasrat menarik orang ramai menyertainya" dan "mencabar interpretasi serta memberi respons terhadap perkembangan perkara tersebut" yang didukungi ketika itu.
‘Kempen hitam'
Menurutnya, ia bukan merupakan pilihan mereka, tetapi ia terjadi berdasarkan kepada konteks yang berlaku ketika itu.
Dalam pertemuan itu juga Ulil Abshar mendakwa terdapat "satu kempen hitam yang agresif" oleh golongan konservatif di Indonesia terhadap kumpulannya.
"Misalnya orang ramai beranggapan bahawa JIL mahu mengubah al-Quran. Saya pernah mendapat satu sebaran atau poster yang diedarkan di masjid yang menyenaraikan sepuluh tuduhan terhadap JIL.
"(Antaranya) JIL mahu mengedit al-Quran, dan mencetak al-Quran yang baru dan dakwaan JIL menyebarkan propaganda supaya jangan berpuasa, jangan bersolat," katanya.
Menurutnya, tindakan tersebut adalah satu pembohongan terhadap JIL supaya masyarakat ketakutan. JIL ditubuhkan lapan tahun lalu.
Penerangan Ulil Abshar semakin lama semakin menarik perhatian kami ketika beliau menerangkan bagaimana mereka berdepan dengan semua itu.
"Saya rasa ia tidak produktif sekiranya membalas kempen hitam yang agresif itu. Saya kira, orang ramai tidak akan percaya kempen ini. Kalau mereka mahu berfikir sedikit kritikal, mereka pasti tidak akan percaya, (ia datang daripada JIL)," katanya.
Tanding ketua umum NU
Kami terus memberi tumpuan dan perhatian terhadap apa yang diperkatakan sambil menjamah hidangan ringan dan menghirup air teh yang disajikan.
Menurut Ulil Abshar, JIL juga berjaya menghadapi cabaran getir terutama ketika membela hak kumpulan minoriti Ahmadiyah yang diharamkan oleh Majlis Ugama Indonesia (MUI).
"Reaksi fatwa MUI ini sungguh kuat, ia ditolak oleh rakyat. Isu ini bukan sahaja isu teologi tetapi juga isu hak rakyat untuk beragama berdasarkan kepercayaan mereka.
"Ia adalah isu hak (mereka) untuk menyatakan keimanan dan agama meraka. Ini terjamin dalam perlembagaan. Tambahan Islam juga amat memelihara (rakyat) kebebasan beragama," katanya.
Dalam pertemuan itu juga Ulil Abshar turut mengesahkan akan bertanding merebut jawatan ketua umum Nahdatul Ulama - sebuah organisasi Islam terbesar di Indonesia - dalam pemilihannya tahun depan.
Beliau menetapkan visi untuk mencabar Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang menguasai kampus-kampus utama di Indonesia.
"Ini adalah janji saya, iaitu untuk meraih kembali sokongan mahasiswa di universiti utama di Indonesia daripada PKS.
Fahaman Wahabi
"Beberapa hari lalu, saya telah bercakap kepada ahli akar umbi NU di Jawa Timur, bahawa beberapa kampus di situ adalah kubu kuat kumpulan konservatif.
"Jadi kenapa tidak ada pergerakan yang lebih moderate seperti NU untuk mencabar mereka di kampus-kampus utama itu. Saya fikir ia boleh memprovokasi emosi mereka," tegasnya.
Ulil Abshar mendakwa PKS sangat cenderung dengan fahaman Wahabi yang berasal daripada Arab Saudi dan pergerakan mereka boleh mempengaruhi orang Islam di Asia.
Kami difahamkan, selain beliau, jawatan itu juga bakal direbut oleh empat orang lagi pemimpin utama NU iaitu Said Agil Siradj, Masdar T Masudi, Salahudin Wahid (adik Abdurrahman Wahid) dan Slamet Effendi Yusuf (ahli politik Golkar).
Kami juga difahamkan, hasrat beliau itu juga mendapat sokongan dan dukungan daripada mantan ketua NU, Abdurrahman Wahid.. Abdurrahman juga merupakan mantan presiden republik tersebut.
"Saya baru sahaja memberikan ceramah umum di hadapan kira-kira 1,000 orang. Ia merupakan sebahagian kempen saya (untuk bertanding ketua Umum)," katanya sambil mengakui kesukarannya menyampaikan ceramah berbanding kuliah.
Peluang ‘agak susah'
"Menarik sekali, kerana ia tidak mudah untuk bercakap dengan rakyat berbanding dengan khalayak yang berakademik... kita perlu menggunakan lawak jenaka dan sebagainya.
"Kita perlu untuk menjadi penceramah berbanding pensyarah dan ia memang cukup sukar sekali," katanya sambil ketawa.
"Ini adalah pengalaman kepada saya. Ia merupakan cabaran kepada kami, sebagai aktivis Muslim untuk mempunyai lebih penceramah dengan menyampaikan ceramah, bukan kuliah akademik," katanya.
Menurut Ulil Abshar, ‘sangat penting' JIL mempunyai penceramah supaya mesej JIL diterima di peringkat akar umbi.
Mengulas mengenai peluangnya untuk memenangi jawatan tersebut, Ulil Abshar, sambil ketawa, berkata "agak susah".
Isnin: Diskusi bersama Kiyai Hussein
Hari ke-4 (bah 1): Beramah mesra dengan isteri Gus Dur
Hari ketiga: Berkurung setahun selepas dimadu
Hari kedua (bah 2): Berkunjung ke Komunitas Salihara