kemaskini 7.11pm Lapan pemimpin dan aktivis pelajar Universiti Malaya (UM) hari ini, yang didakwa membawa masuk dua ahli politik Pakatan Rakyat, dibebaskan daripada kesalahan tersebut.
Dua daripada mereka dibebaskan daripada tuduhan melanggar peraturan kampus itu pagi tadi, manakala enam lagi dibuang kes masing-masing jam 5.10 petang ini.
Pagi tadi, dua pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) didapati tidak bersalah terhadap dakwaan membawa masuk seorang wakil rakyat PKR ke kampus itu, Mac lalu.
Muhammad Haafizuddin Abirerah dan Abu Ubaidah Amir Abdul Malik dituduh membenarkan setiausaha kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad melibatkan diri dalam aktiviti pertubuhan itu.
Pada 16 Mac lalu, ADUN Seri Setia menyampaikan ucapan perasmian mesyuarat agung PMIUM selepas diseludup masuk ke kampus dengan motosikal seorang mahasiswa setelah kenderaannya dihalang.
Manakala enam aktivis Persatuan Bahasa Cina UM (PBCUM) dituduh mengundang exco kanan Selangor, Teresa Kok dan ahli jawatankuasa pusat MCA Wong Nai Chee mengadili satu program debat, 8 September lalu.
Keenam-enam yang dihadapkan ke depan jawatankuasa tatatertib mulai pagi ini: Saw Yee Fung (presiden PBCUM), Chan Kheng Fai (ketua unit debat), Chan Wei De, Koh Ming Chen, Ng Xin Ying dan Yong Siew Cheng (keempat-empatnya AJK unit debat).
Pemimpin dan aktivis persatuan itu terlibat menganjurkan pertandingan debat dalam bahasa Cina berjudul 'Antara Pakatan Rakyat dan BN: Yang Mana Lebih Menggelisahkan?'
Dua lagi pemimpin politik - wakil rakyat DAP Teoh Nie Ching dan seorang pemimpin MCA Selangor, Victor Gu - pula terlibat pendebat di acara itu yang dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Kelapan-lapan pemimpin dan aktivis didakwa mencabuli peraturan bertulis kampus tersebut iaitu subperenggan 16 (1), Borang 2 dalam Statut Universiti Malaya (Badan-badan Pelajar) 1979 yang dibuat bawah Perlembagaan Universiti Malaya.
Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan hukuman yang paling ringan dengan diberikan amaran atau paling berat dipecat daripada UM.
Prosiding terhadap dua pemimpi PMIUM berlangsung di sebuah bilik di Bangunan Canselori bermula jam 9.30 dan berakhir empat jam kemudian, manakala prosiding ke atas enam lagi bermula jam 2.45 petang.
Jawatankuasa tatatertib itu dianggotai oleh tiga anggota panel yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr A Hamid A Hadi.
Prosiding tatatertib tersebut dimulakan pada hari ini selepas dua kali ditangguhkan .
Mohd Haafizuddin dan Abu Ubaidah Amir, ketika ditemui pemberita selepas keputusan tersebut, kelihatan gembira dan lega.
Mohd Haafizuddin berkata, secara umumnya, Dr A Hamid telah menasihatinya supaya tidak mengulangi perbuatan menjemput orang luar untuk terlibat dengan acara PMIUM.
"Itu sahaja yang dinasihat. Jangan buat lagi, dia suruh ikut peraturan," katanya, sambil menambah, keputusan rasmi akan dihantar kepadanya dalam tempoh 14 hari.