Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim kecewa dengan prestasi wakil rakyat BN yang dilihat tidak berminat untuk membahaskan usul-usul yang dibentangkan dalam sesi mesyuarat kali ini.

Teng yang juga kecewa dengan rekod kehadiran ADUN pembangkang itu berkata, mereka perlu menghadiri kursus supaya lebih memahami tugas sebagai pembuat undang-undang di DUN.

"Jelas kelihatan mutu perbahasan ADUN Pakatan Rakyat meningkat. Sementara yang menghampakan adalah pembangkang (BN), yang nampaknya tidak berminat membahaskan usul-usul serta rang undang-undang yang dibentangkan," kata Teng lagi.

Beberapa usul, termasuk usul menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock diluluskan sebulat suara tanpa kehadiran pembangkang.

Usul berkenaan diluluskan hari ini selepas kebanyakan ahli-ahli pembangkang bertindak keluar dewan.

Bercakap dalam sidang media selepas sidang dewan ditangguhkan petang ini, Teng menjelasnya, wakil BN juga perlu "memperbaiki prestasi mereka" dalam sidang seterusnya yang dijangka diadakan Mac depan.

Difahamkan, antara yang bakal menjadi perhatian dalam sesi itu adalah pembentangan rang undang-undang berkaitan kebebasan maklumat - menjadikan Selangor negeri pertama menggunapakai undang-undang tersebut.

Teng juga berkata, BN mungkin perlu mengadakan kursus untuk wakil rakyatnya supaya lebih memahami fungsi mereka sebagai pembangkang di DUN berkenaan.

"Mungkin pihak BN perlu mengadakan kursus untuk mereka kerana agaknya mereka sudah lama menjadi pemerintah, selama 50 tahun. Sekiranya memerlukan bantuan saya memberi kursus, saya sudi memberikannya.

"Selama ini mungkin mereka telah mengabaikan tugas mereka sebagai ADUN dan pembuat undang-undang di dewan negeri," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS