Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saran Mahathir dilantik menteri kanan
Diterbitkan:  Nov 17, 2009 3:52 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik hari ini mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertimbangkan jawatan menteri kanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pengalaman luas Dr Mahathir sebagai perdana Menteri selama 22 tahun yang telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan sehingga menjadikan ekonomi negara ini kukuh perlu dimanfaatkan oleh kerajaan bagi membantu Malaysia agar terus maju di samping untuk memajukan negara-negara Islam lain.

"Tanpa jawatan ini pun Tun Mahathir sentiasa dijemput oleh negara-negara tertentu seperti Jepun, Mesir dan sebagainya untuk memberi pandangan dan berkongsi pengalamannya dari semasa ke semasa.

"Jadi ada eloknya sedikit status ditimbangkan untuk Tun (Mahathir) bagi membolehkan beliau melawat negara-negara tersebut dan memberikan idea-ideanya tentang bagaimana untuk mempercekapkan sistem pembangunan sesebuah negara itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan buku Amanat Perdana Menteri kepada 113 pegawai kanan Risda, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan NGO di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata sumbangan idea Dr Mahathir ini juga sebenarnya amat diharapkan oleh negara Dunia Ketiga dan negara Islam dan ia juga dapat meningkatkan nama Malaysia di arena antarabangsa.

Dalam pada itu Abdul Rahim berkata pengagihan buku Amanat Perdana Menteri yang menjilidkan ucapan-ucapan dasar perdana menteri-perdana menteri Malaysia merupakan inisiatif Risda bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan pegawai sekaligus dapat menangkis sikap perkauman yang semakin menular dewasa ini.

"Semangat patriotik sangat penting kerana keadaan masyarakat majmuk sekarang ini, kita perlu satu penghayatan patriotisme nasional dan ia benteng kepada usaha kita untuk menolak sikap perkauman yang sempit.

"Oleh itu kita kemukakan usaha ini untuk tingkatkan semangat itu kepada pemimpin-pemimpin supaya tidak menerima perjuangan perkauman yang sempit itu," katanya.

Sementara itu ketika menjawab pertanyaan pemberita sama ada Risda akan memberi bantuan kepada pekebun kecil getah yang terjejas ekoran musim tengkujuh ini, beliau berkata Risda melalui pegawainya di setiap negeri akan menimbang untuk memberi bantuan terutama di kawasan yang dilanda banjir seperti di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan melalui peruntukan khas bencana alam Risda. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS