Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selangor dijangka menanggung kerugian lagi RM136.4 juta jika projek penempatan semula setinggan di Selayang - yang bermasalah sejak 1986 - diteruskan, kata menteri besar hari ini.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan maklumat sulit itu dalam siri ketiga pembongkaran kegagalan pentadbiran BN sejak pendedahan pertama Rabu lepas.

Jumaat lalu, beliau menyalahkan bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo atas kegagalan negeri itu meraih hasil RM800 juta dalam projek penghutanan semula di Hulu Langat.

Dalam siri pertama, kerajaan Pakatan membocorkan dokumen memperincikan perpindahan hak milik tanah rakyat di Shah Alam yang menyebabkan 383 penduduk miskin kehilangan tanah mereka.

Satu risalah yang dikeluarkan oleh pejabat menteri besar menyatakan, projek di Bukit Botak itu melibatkan sembilan kampung setinggan di atas tanah seluas 202 hektar untuk menempatkan 2,300 keluarga.

Unit rumah mereka di kawasan yang kini dikenali Taman Selayang Utama bagaimanapun masih gagal disiapkan sepenuhnya.

Risalah-risalah didedahkan dengan kuasa menteri besar itu seperti diperuntukkan bawah Seksyen 2(C) Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bagaimanapun, risalah itu tidak memberikan keseluruhan maklumat berkaitan kegagalan projek berkenaan.

Maklumat yang masih kabur, seperti yang dinyatakan dalam risalah berkenaan, antaranya penglibataan dan pemilihan pemaju Delpuri Corporation Sdn Bhd (DCSB), serta pemberian tanah kepada penduduk yang tidak berhak.

"Ketiga, mengapakah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diarahkan menjalankan pembangunan walaupun kerajaan negeri pada masa itu maklum bahawa ia akan menyebabkan kerugian yang besar kepada perbadanan itu,” risalah itu dipetik.

Ia turut menyatakan, projek yang terbengkalai tiga kali ini dimulakan pada 1986 dan kemudiannya berpindah tangan daripada dua pemaju sehinggalah diambil alih oleh PKNS.

Pada awalnya sebanyak RM17 juta dikhaskan sebagai peruntukan pendahuluan untuk projek berkenaan, manakala syarikat Shah Alam Properties dilantik sebagai pengurus pembangunannya.

"Perancangan penyusunan dan penempatan semula setinggan Bukit Botak ini bermula pada tahun 1986 semasa pentadbiran Datuk Ahmad Razali Mohd Ali, menteri besar Selangor pada masa itu," risalah tersebut dipetik.

Projek ini menemui kegagalan pada 1992 namun diteruskan oleh DCSB, menurut dokumen itu lagi.

Selain memperincikan rentetan peristiwa berkaitan projek tersebut, risalah itu turut menamakan keempat-empat orang pengarah syarikat berkenaan dan juga sebuah syarikat pemegang saham utamanya.

"Tidak dapat dipastikan bagaimana DCSB yang pada masa dilantik pada Nov 1996 (untuk memajukan projek itu), baru saja ditubuhkan dua bulan sebelum itu.

"Pada masa yang sama, juga didapati ada di antara pengarah syarikat tersebut yang tidak mempunyai pengalaman dalam pembangunan rumah dan salah satu pengarah juga merupakan bekas pengawai daerah Hulu Selangor," menurut risalah itu lagi.

Kerajaan negeri pada 2005 telah mengambil alih sebahagian daripada projek berkenaan dan diletakkan di bawah PKNS.

"Bagaimanapun, tiada sebarang tindakan diambil ke atas pihak DCSB walaupun kerajaan telah menanggung kerugian yang besar dan pihak setinggan masih tidak berumah," menurut risalah itu lagi.

Sejak Januari 2007, PKNS kemudiannya menyambung semula projek berkenaan dengan melantik tiga kontraktor.

"Apa yang menghairankan, DCSB masih lagi dilantik dan dipertanggungjawabkan dengan 592 unit, iaitu paling banyak unit berbanding dengan dua kontraktor lain - PKNS Infra Bhd dan Selangor Industrial Corporation," risalah tersebut dipetik.

Selepas negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, Abdul Khalid pada September tahun lalu memutuskan untuk menamatkan kesemua kontrak pembinaan tersebut dengan alasan kerugian PKNS itu "secara tidak langsung ditanggung oleh kesemua pembayar cukai Selangor."

PKNS dijangka akan menanggung kerugian sebanyak RM136.4 juta sekiranya projek berkenaan diteruskan setelah RM48 juta sudah dibayar sebagai kos untuk menamatkan projek tersebut, termasuk bayaran guaman serta subsidi sewa.

ADS