travelog Jalan menuju ke pesantren hanya dengan melalui lorong kecil yang boleh dilalui oleh kenderaan kecil sahaja.
Jalan yang berlopak, tidak berturap dan berdebu menyebabkan bas yang membawa kami terhoyong-hayang - ke kiri dan ke kanan - seperti berada di dalam kapal di lautan yang bergelora.
Dalam perjalanan ke sana, penyelaras Sisters in Islam (SIS) Norhayati Kaparawi memberitahu kepada kami bahawa keunikan pesantren ini ialah terdapat hanya seorang sahaja tenaga pengajar wanita yang bernama Siti Ansariah Mudas di situ.
Menurut Norhayati lagi, setahunya ini adalah satu-satunya pesantren yang mengangkat isu hak-hak perempuan dan kepentingan menjaga kesihatan reproduksi sebagai satu mata pelajaran wajib di sekolah itu.
Jadi, saya pun tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan hal tersebut kepada Siti Ansariah, yang juga koordinator Rahima, sebuah NGO yang memberi pendidikan dan memperjuangkan hak-hak wanita Islam.
"Saya mengemukakan pandangan wanita dari perspektif baru dalam Islam kepada pelajar, terutama berhubung soal haid, khitan (bersunat), bab nikah dan hubungan suami isteri," kata wanita genit berkerudung merah.
Katanya, dia cuba lari daripada kebiasaan mengajar subjek yang bersangkutan dengan soal wanita dengan dimulai dengan bab nikah.
"Saya diberikan kebebasan untuk menentukan subjek yang hendak diajar," tambahnya..
"Jadi mbak, bagaimana dengan reaksi para pelajar?" soalku sambil menekuni butir katanya yang telor Indonesia.
"Pada mulanya, mereka malu-malu, lama kelamaan mereka seronok sehingga mereka menelefon saya sekiranya saya tidak masuk ke kelas, menyuruh masuk mengajar," jawabnya sambil ketawa kecil.
Siti Ansariyah menggunakan kitab fekah Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba'ah karangan Abu Bakar Al-Jazairi, kitab yang hanya digunakan di universiti Malaysia.
Beliau, yang mendapat pendidikan pesantren dan Univerisiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, berkata pengajarannya menitikberatkan 75 peratus perdebatan di kalangan pelajar dan bakinya pula mengikut sukatan pelajaran.
Di kesempatan itu juga, kami berkenalan dengan pemimpin pesantren tersebut termasuklah ketua umumnya, Drs Sobron MZA; ketua satunya Hilman MR, Maulana Yusuf (setiausaha umum) dan Mohd Sahlan Dawan (ketua kesantrian).
Menurut Hilman, selain menekan soal subjek pengajian agama seperti al-Quran, Hadis, Fiqh, Tauhid, Qiraat dan Tilawah, para pelajar juga diajar mengenai Bahasa Arab dan pengajian kitab-kitab kuning.
Pesantren itu, yang diasaskan sejak 2001, turut mengajar mata pelajaran moden yang disediakan oleh kerajaan Indonesia antaranya subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Institusi itu mempunyai seramai 250 pelajar dalam tiga tahap - tahap rendah, pertengahan dan atas. Seramai 125 pelajar dibiayai pengajian mereka. Kira-kira 75 daripada mereka pelajar perempuan dan selebihnya lelaki.
Terdapat lebih daripada 20 tenaga pengajar di pesantren tersebut.
Kira-kira dua jam kami tiba di sekolah tersebut sehingga jam 5.30 petang, kami bertolak pulang ke penginapan kami di Hotel Millenium, Jakarta, kira-kira satu jam setengah perjalanan.
Kali pertama berada di Jakarta, sudah pasti mataku terpukau dengan keutuhan bangunan yang mencakar langit tanpa mempedulikan jalan raya yang macet (sesak) dan hingar-bingar dengan deruan kenderaan.
Perjalanan ke Jakarta untuk menghadiri lawatan sambil belajar ini anjuran SIS selama seminggu bermula 1 November.
Lawatan itu diserati 11 orang termasuk empat wartawan. Selain Malaysiakini , wartawan-wartawan The Malaysian Insider dan New Straits Times juga turut sama. Rombongan itu diketuai pengurus program SIS, Maselati Samani.
Kami sampai di lapangan terbang antarabangsa Soekarno-Hatta, kira-kira jam 10 pagi waktu Jakarta (11 pagi di Kuala Lumpur).
Setiba di sana, cuaca amat cerah dan suasana tenang. Kesemua ahli rombongan melepasi kawalan imigresen kecuali seorang wartawan yang ditahan oleh imigresen Indonesia kerana namanya menyerupai seseorang yang telah disenaraihitamkan oleh pihak berkuasa.
Dia ditahan lebih sejam untuk sesi soal siasat. Bagaimanapun dengan bantuan Norhayati - yang sedia menunggu kami di sana - berjaya membawa wartawan itu "melepasi tahanan" imigresen tersebut, tanpa sebarang kekecohan.
Kira-kira jam 11.30 pagi waktu Indonesia, kami menaiki sebuah bas mini berwarna biru meluncur ke pesantren Al-Quraniyyah di Tangerang.
Mujur hari itu hujung minggu dan lalu lintas di kota Jakarta ketika itu tidak semacet seperti hari-hari biasa. Sebelum ke sana, kami menjamu selera dengan menikmati masakan tradisional Indonesia sup asam, ikan bakar, dan ulam-ulaman di restoran ikan bakar Babe H Lili di Jakarta Pusat.
Seusai menjamu selera, kami bertolak ke pesantren Al-Quraniyyah itu kira-kira jam 2 petang dan perjalanan ke pesantren itu memakan masa 90 minit.
Sepanjang perjalanan ke pesantren, lalulintas sedikit sibuk dari kedua-dua arah. Aku dapati kebanyakan penduduk Indonesia berniaga dan membuka perusahaan sendiri secara kecil-kecilan. Dan kebanyakan penduduk di sini menaiki motosikal.
Hari kedua: Rahima perjuang hak wanita Islam
Hari kedua (bah. 2): Berkunjung ke Komunitas Salihara
Abdul Rahim Sabri, wartawan Malaysiakini , berkunjung buat kali pertama ke Indonesia setelah lama jatuh cinta pada sastera dan filem republik itu.