Keputusan sesi dialog MCA di Kuala Lumpur hari ini yang menyokong Pelan Perpaduan Menyeluruh, tidak menggambarkan pandangan keseluruhan akar umbi, kata Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata, keputusan tersebut hanya dibuat oleh sesetengah pemimpin parti dan bukannya disuarakan oleh perwakilan.
Katanya, melalui pertemuannya dengan bahagian MCA seluruh negara, terdapat respon yang kuat daripada perwakilan untuk EGM kedua diadakan bagi membolehkan pemilihan baru parti diadakan.
"Kita mendapat sokongan baik daripada akar umbi dan kita faham bahawa adalah menjadi tugas dan tanggungjawab perwakilan untuk memutus dan menyelesaikan krisis parti itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan enam bahagian MCA Pahang di Kuantan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sesi dialog MCA antara kepimpinan tertinggi dengan 620 anggota daripada 155 bahagian parti itu yang menyokong pelan tersebut yang diusahakan presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selain memutuskan EGM kedua yang dijadualkan pada 28 November ini sebagai tidak sah.
Liow sebaliknya berkata, EGM kedua yang ditetapkan itu akan berjalan mengikut perancangan.
"EGM yang akan diadakan ini adalah sah dan benar di sisi undang-undang dan perlembagaan parti, melalui pemilihan semula, kita akan dapat kembalikan maruahdan integriti parti sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demokrasi dalam parti perlu dihidupkan dengan mengembalikan kuasa kepada perwakilan untuk menentukan kepimpinan parti.
Ditanya sama ada tindakannya mengadakan pertemuan dengan bahagian-bahagian MCA akan membunuh kariernya, Liow berkata, beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai salah seorang pemimpin parti.
"Saya hanya mendapatkan anggota perwakilan untuk menyatakan pandangan, kita bukan untuk menjatuhkan seseorang, jadi kenapa ada kebimbangan," katanya. Bernama