Ketua Umum PKR,Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan naib presiden parti Azmin Ali yang didakwa terlibat dalam pembelian saham mencecah RM8 juta dengan dua individu lain, yang dibangkitkan oleh pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S A Vickneswaran.
Anwar berkata siasatan berkenaan dakwaan itu telah dibuat pada 1998 di mana Azmin telah ditahan dan kemudian dibebaskan.
"Azmin pun sudah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu dan akan ambil tindakan. Kita kena bezakan antara fakta atau fitnah, saya tidak tengok dokumen itu tapi saya tahu sebab siasatan telah dibuat sejak awal dan tidak ada tindakan, bahkan dilepaskan," katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di konvensyen PKR Selangor yang dirasmikan oleh isterinya dan juga presiden parti Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di Shah Alam hari ini.
Kelmarin Vigneswaran mendakwa Azmin dan isterinya, Shamshida Taharin memiliki saham berjumlah lebih RM9 juta pada awal 1990-an.
Bercakap dalam satu sidang akhbar, Vigneswaran menggesa Azmin menjelaskan sama ada beliau telah membeli saham tersebut pada awal 1990-an ketika menjadi setiausaha sulit Anwar yang menjadi menteri kewangan ketika itu.
Azmin yang juga ahli parlimen Gombak menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkanya sebagai serangan fitnah yang jahat untuk mengganggu keamanan dan ketenteramannya dan keluarganya.