Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib cuba naikkan kadar 5% pertumbuhan
Diterbitkan:  Nov 13, 2009 5:04 PM
Dikemaskini: Nov 14, 2009 3:26 AM

Perdana menteri hari ini berkata beliau akan sedaya usaha menggerakkan negara bagi memastikan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi lima peratus tahun depan, dua peratus lebih tinggi berbanding anggaran awal oleh kerajaan.

Datuk Seri Najib Razak berkata pentadbirannya akan mengumumkan model ekonomi baharu Malaysia menjelang akhir tahun, yang akan mengenal pasti sumber baru pertumbuhan yang akan meningkatkan kadar pertumbuhan negara berbanding 3.0 peratus pasca krisis.

"Saya belum pasti sama ada ia boleh dicapai, namun saya akan mencuba yang terbaik," kata Najib dengan penuh yakin pada sesi dialog Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang diadakan sempena mesyuarat Para Pemimpin Apec, di Suntec, Singapura.

Najib antara ahli panel pada dialog bertema 'Adakah Krisis Global Sudah Berakhir'. Ahli panel lain termasuk Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, Pengerusi Global PricewaterhouseCoopers International, Dennis M Nally dan Presiden Pembangunan Inter-American, Dr Luis Alberto Moreno.

Perdana menteri menjelaskan sumber baharu pertumbuhan itu termasuk pengukuhan permintaan domestik selain mendapatkan sektor swasta, yang masih belum menyumbang secukupnya di Malaysia, terlibat secara aktif.

Sambil memberitahu hadirin bahawa beliau sudah meminta para menteri dan pegawainya supaya berusaha mendapatkan dua peratus itu tahun depan dan tahun-tahun seterusnya, Najib berkata beliau akan berusaha lebih keras dalam memastikan kerajaan lebih cekap, mesra perniagaan dan menjual Malaysia ke luar negara.

Menjawab soalan, perdana menteri berkata berdasarkan pelbagai reformasi ekonomi drastik yang diperkenalkan baru-baru ini, beliau yakin dua pakej rangsangan semasa kerajaan akan berjaya.

"Ia mesti berjaya, jika tidak anda tidak akan dapat melihat saya bertahan terlalu lama," kata Najib secara terus terang, dan disambut gelak-ketawa daripada perwakilan pada sidang kemuncak itu.

Perdana menteri berkata pakej rangsangan Malaysia merupakan antara yang terbesar di dunia memandangkan ia membabitkan kira-kira 9.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sejak diperkenalkan, angka ekonomi sudah meningkat, terutama pada separuh kedua tahun ini, kata Najib yang menambah, tahun depan seperti unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 2.5 hingga 3.0 peratus.

Beliau berkata kerajaan juga menambah RM1 bilion perbelanjaan setiap bulan sejak melancarkan pakej-pakej rangsangan itu, dan melibatkan rangsangan besar untuk ekonomi.

Najib juga menyenaraikan perubahan ekonomi dan kewangan yang diperkenalkan oleh kerajaan seperti liberalisasi 27 subsektor dan sektor kewangan, pengeluaran lesen bank-bank komersil baharu untuk rakyat asing menyertai sektor kewangan negara, pertumbuhan kewangan Islam, serta memansuhkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) membabitkan ekuiti Bumiputera.

"Pada keseluruhannya, pelbagai usaha yang kami laksanakan sudah membuahkan hasil yang kukuuh dalam negara serta di peringkat antarabangsa," kata Najib yang menambah, tanpa langkah-langkah ekonomi itu, Malaysia tidak akan dapat mencatat kadar 3 peratus.

Ditanya sama ada krisis ekonomi global sudah berakhir, perdana menteri menjawab "ya", namun bertanya balik sama ada pemulihan berkekalan dan pertumbuhan pada paras yang sama seperti paras prakrisis. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS