Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penyokong Umno mungkin terlibat dalam demonstrasi mengarakkan kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil tetapi ia bukanlah atas arahan pemimpin parti berkenaan.
Katanya, beliau selaku menteri besar Selangor harus mengambil sikap profesional dan tidak boleh menyalahkan keseluruhan parti Umno atas kesilapan yang mungkin dilakukan oleh segelintir anggota parti itu.
Abdul Khalid menjelaskan, beliau tidak boleh membuat kenyatakan politik yang melulu.
"Saya tidak boleh katakan sebagai MB tanpa fakta iaitu (Umno) terlibat. Boleh jadi ahli parti ada buat tapi saya tidak ada dokumen mengatakan ada arahan daripada Umno atau resolusi (untuk berarak membawa kepala lembu) dari Umno.
"Dakwaan orang Umno terlibat memang betul tapi bukan parti Umno," katanya dalam sidang media di luar persidangan DUN hari ini.
"Kita kena bezakan antara parti dengan penyokong parti."
Beliau mengulas kritikan yang dilemparkan seorang wakil rakyat DAP M Manoharan ketika persidangan DUN semalam.
ADUN Kota Alam Shah meluahkan rasa kecewanya terhadap Abdul Khalid yang didakwa membersihkan nama Umno dalam perarakan kontroversi di depan bangunan SUK di Shah Alam, 28 Ogos lalu.
Manoharan juga berkata menteri besar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut kerana beliau "mengetahui Umno memang terlibat dalam perarakan tersebut".
Abdul Khalid hari ini menjelaskan, tindakan pihak terbabit mengarak kepala lembu itu "tidak betul."