Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mengakui tidak mendapat arahan daripada PAS pusat dan majlis syura untuk mengamalkan bai'ah talak tiga, tetapi sebaliknya ia hanya pilihan di kalangan wakil rakyat PAS.
Bai'ah adalah sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti.
"Ada (anggota PAS) tapi (secara) sukarela, bukan arahan, bai'ah (sumpah taat setia) dan taklik berasingan, terpulang kepada individu untuk mengukuhkan pendirian," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun beliau enggan memberitahu siapakah pihak yang mengesyorkan bai'ah talak tiga itu.
"Ada ramai lah yang 'anu' kan... tapi akhirnya terpulang pada individu masing-masing," kata Khalid, yang sebelum ini mengakui mengamalkan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya melompat parti semasa pilihan raya umum ke-12 pada Mac tahun lepas.
Katanya beliau tidak boleh mengesahkan sama ada semua wakil rakyat PAS di Selangor yang turut berbuat demikian.
Khalid berkata beliau memilih untuk memasukkan lafaz taklik dalam bai'ah bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti.
Beliau berkata isterinya Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar juga menganggap tindakannya itu sebagai satu penghargaan kepada perkahwinan mereka kerana dalam konsep ini, isteri bukan dijadikan cagaran sebaliknya untuk mengukuhkan pendirian.
"Bagi saya rumah tangga, isteri cukup penting, itu sebagai penghalang kita (lompat parti), bukan kita panggil sebagai cagaran, ini sebagai penghalang, orang tidak faham seolah-olah kita berjudi, ini bukan berjudi.
"Walaupun diletak sogokan RM20 juta sekalipun saya tak akan khianati parti kerana menghargai ikatan perkahwinan," katanya.
Sementara itu, PAS akan menyiasat amalan bai'ah talak tiga di kalangan wakil rakyatnya kerana arahan itu tidak dikeluarkan oleh PAS Pusat atau Majlis Syura, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub.
Beliau juga menegaskan bai'ah yang dilakukan oleh parti itu hanyalah berkaitan dengan sumpah taat setia memegang jawatan setiap dua tahun sekali yang dilakukan pada hari pertama memegang jawatan dalam parti.
"Apa pun yang berlaku di mana-mana peringkat, itu bukan daripada PAS pusat dan bukan daripada majlis syura.
"Perkara ini tidak berbangkit dan bukan isu besar. Saya boleh tegaskan apa pun yang berlaku itu bukan daripada parti dan bukan keputusan dan pendirian parti," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.
Ditanya sama ada bai'ah adalah pilihan atau peraturan yang dijalankan oleh pemimpin PAS di negeri-negeri, Salahuddin berkata mereka akan menyiasat punca perkara itu timbul.
"Ini juga telah ditegaskan oleh Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz) sendiri bahawa ia tidak pernah datang dari PAS pusat dan Majlis Syura," katanya. - Bernama