Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang ketua jabatan di sebuah universiti antara tujuh orang yang ditamatkan pentauliahan mereka tanpa sebab oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kata ADUN Pakatan Rakyat hari ini.

Wakil Hulu Kelang, Saari Sungib berkata, Jais telah bertindak dengan niat yang tidak baik dengan menarik tauliah mengajar agama ke atas ketujuh-tujuh orang tersebut.

Pemimpin PAS itu, yang membaca senarai penceramah yang ditamatkan tauliah itu (lihat senarai di bawah) , berkata mereka antaranya ketua jabatan sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini masih berkhidmat dan juga merupakan seorang lulusan peringkat kedoktoran.

Jelasnya, tindakan Jais itu mungkin melibatkan "tangan-tangan ghaib" tertentu kerana tidak menggambarkan semangat pentadbiran kerajaan Selangor yang 'pro-rakyat'.

"Tindakan Jais baru-baru ini tidak gambarkan seiring jalan antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan Jais. Hari ini kita dianggap sama sahaja seperti pentadbiran (BN) dulu dengan menghalang dan menangkap ulama daripada berceramah.

"Tanggapan ini mesti dihapuskan. Ulama dan ilmuwan sepatutnya diberi tauliah sebagai pengiktirafan tanpa mereka perlu memohon," katanya ketika perbahasan di persidangan DUN Selangor.

Saari menambah, beliau turut menganggap penahanan bekas mufti Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilakukan secara niat tidak baik oleh jabatan tersebut.

"Ini menunjukkan ada niat tidak suci, dengan menahan Dr Asri walau dengan keadaan hadirin ramai dan situasi yang boleh timbul ketegangan," katanya.

Katanya lagi, jabatan itu bertindak dengan sewenang-wenangnya dengan menahan Dr Mohd Asri dengan alasan ingin mendapatkan keterangan daripada bekas mufti Perlis itu.

"Ada pilihan untuk tidak menangkap beliau jika untuk ambil keterangan. Boleh ambil kenyataan tempat dia berceramah, tapi tangkap juga," katanya.

Jais juga sengaja melambat-lambatkan prosedur sehinggalah menyebabkan Dr Mohd Asri gagal didakwa di mahkamah syariah awal minggu lalu walau telah menunggu beberapa jam, tambahnya.

Dalam ucapan yang sama, Saari turut mencadangkan supaya kerajaan negeri meningkatkan program-program kesedaran terhadap isu penahanan tanpa bicara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Satu roadshow (jelajah) harus diadakan seluruh Selangor untuk menentang kezaliman ISA," katanya.

Saari, bekas presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), pernah ditahan dua kali bawah akta tersebut, pada 1998 dan 2001.

Dihubungi Malaysiakini selepas persidangan DUN itu, beliau berkata tiada sebab dinyatakan dalam surat penolakan tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bertarikh 11 Ogos lalu kepada mereka.

Di kalangan tujuh nama ini, tambahnya, terdapat mereka yang telah memohon sebanyak lima hingga enam kali untuk mendapatkan tauliah tetapi masih tidak diberikan.

Senarai yang tidak dapat tauliah:

Fathul Bari Mat Jahya - kelulusan BA Hadis (Universiti Madinah), MA (Universiti Yarmouk, Jordan), sedang menamatkan PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Mohd Khairi Anwar Abdul Latif - BA al-Quran dan Sunnah (UIA), MA Hadis (UIA), bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa

Abdul Razak Mutalib - BA Usul Fiqh (UIA), MA Hadis, bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa

Muzairi Mustafa - BA Tafsir, Usul dan Dakwah (Al-Azhar, Kaherah), sedang menuntut di peringkat sarjana

Fathlan Mohd Osman - BA Dakwah, MA Tafsir (UKM), sedang menyiapkan PhD Hadis di UIA

Dr Azwira Abd Aziz - BA (Univeristi Madianah) MA (Univeristi Madianah), PhD (Universiti Jordan), ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah UKM

Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi - BA Hadis, Diploma Dakwah (Universiti Madinah), MA Hadis (UIA)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS