Penulis blog yang selama ini kritis terhadap kepimpinan PAS dan sering mendedahkan pergeseran dalamannya, kini dilihat ‘tidak berminat' untuk berpolemik mengenai isu bai'ah talak tiga yang rancak didebatkan sekarang.
Semakan Malaysiakini mendapati, kebanyakan blog, termasuk yang diusahakan pemimpin kanan PAS - seperti naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mahfuz Omar - tidak menyentuh isu tersebut.
Isu tersebut tercetus ekoran pendedahan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad baru-baru ini bahawa ia diamal dalam parti PAS.
Khalid mengakui wujudnya syarat yang menghendaki pemimpin parti itu melafazkan bai'ah iaitu sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti.
Pemimpin utama PAS, termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan mursyidul am Datuk Nik Aziz Nik Mat bagaimanapun dilaporkan menafikan wujudnya amalan bai'ah talak tersebut.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, penulis blog Malaysian Waves berkata, isu tersebut tidak diendahkan kerana "ia perkara yang membuang masa".
"Lebih baik (kita) sentuh mengenai politik wang dan rasuah pemimpin BN. Saya pun malas hendak sentuh isu yang bukan isu," kata penulisnya yang hanya mahu dikenali sebagai Tulang Besi.
Mengulas kesahihan dakwaan bai'ah talak itu, Tulang Besi berkata, setahunya bai'ah yang melibatkan talak tidak diamalkan sejak kaedah itu mula diperkenalkan selepas 2004.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti dengan situasi sekarang.
"Yang saya tahu ada (bai'ah talak), tetapi saya tidak nampak dan cuma dengar orang kata. Kalaupun ia wujud isunya adalah politik wang BN," katanya.
Sementara itu, exco Dewan Ulama PAS, Zolkharnain Abidin - yang mengulas isu tersebut dalam blognya - turut dilihat tidak pasti dengan status kewujudan bai'ah tersebut.
"Polemiknya ialah, adakah wujud bai'ah talak tiga itu? Nampaknya (ia) cenderung ke arah wujud kerana ada pihak yang mengakuinya.
"Cuma, adakah ia wujud secara rasmi atau sekadar inisiatif (sendiri)?" coretnya hari ini.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Tulang Besi bahawa itu tersebut "tidaklah sebesar mana berbanding dengan isu penyelewengan, perampasan royalti minyak, (dan) peletupan sehingga berkecai" .
Isu tersebut mendapat perhatian kerana melibatkan PAS dan membabitkan isu agama, tambahnya yang juga bekas ADUN Santan.
Sementara itu, penulis blog Alhusseyn51 berpendapat, pemimpin tertinggi PAS dilihat tidak sepakat dan seolah-olah cuba mengelak daripada membuat ulasan tentang isu tersebut.
"Seorang (pemimpin) itu kata, ‘akan disiasat'. Dan seorang lagi kata, ‘tidak ada dalam kepala saya'.Tetapi Khalid Samad telah terlajak perahu... Bukan salah dia.
"Perkara (dakwaan) itu mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan penulis blog," coretnya dalam artikel bertajuk "Bai'ah Talaq - Umno sedang berpesta".
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan isu terbabit pagi esok di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.