Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jawatankuasa Penyokong Barisan Nasional (BBNC) menemui bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin malam tadi bagi menyatakan sokongan mereka terhadap beliau dalam menghadapi isu penangkapannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana didakwa mengajar agama tanpa tauliah.

Pertemuan tersebut berlangsung di bangunan Parlimen, yang dihadiri oleh kira-kira 15 orang anggota BBNC.

Dr Mohd Asri berkata, dalam pertemuan tersebut, mereka menyuarakan kekecewaan mereka dengan tindakan Jais itu.

"Mereka berjanji akan membangkitkan isu itu dalam sidang Parlimen dan ia telahpun dibangkitkan dalam sidang semalam," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam pertemuan itu, mereka turut bertanya kepadanya sama ada beliau akan menyertai bidang politik.

"Saya memberitahu mereka, saya akan berbuat demikian sebagai jalan terakhir, sepertimana yang telah nyatakan sebelum ini," katanya.

Dr Mohd Asri juga menafikan terdapat usaha mahu mengajaknya menyertai BN setelah bertemu banyak pemimpin politik, termasuk pembangkang susulan kontroversi penangkapannya baru-baru ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataannya semalam bahawa beliau bersedia memohon tauliah kepada Jais sekiranya Jais berlaku adil, Dr Mohd Asri berkata:

“Saya kata, jika terpaksa (pohon). Saya tidak kata saya setuju dengan sistem tauliah itu. Bukan bermaksud saya akan minta,” jelasnya.

Menurutnya, pertemuan malam tadi berlangsung ekoran inisiatif seorang anggota BNBBC yang menjemputnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS