Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 1.51pm Speaker DUN Selangor hari ini menolak usul tergempar ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib untuk membincangkan isu penahanan Dr Mohd Asri Zainal Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), awal bulan ini.

Teng Chang Khim berkata walaupun usul itu melibatkan kepentingan orang ramai, namun tidak menepati syarat yang memerlukannya ia disegerakan.

Bekas mufti Perlis itu ditangkap di sebuah banglo di Hulu Kelang tengah malam 1 November lalu berhubung siasatan bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau kesalahan menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Beliau bagaimanapun tidak didakwa di mahkamah, setakat ini.

Saari dalam cadangannya juga menggesa kerajaan Selangor mengarahkan Jais melepaskan segera Dr Mohd Asri tanpa syarat serta menggugurkan segala dakwaan yang telah dirancang.

Beliau, yang turut berada di tempat kejadian semasa Dr Mohd Asri ditahan, berkata tindakan Jais menahan tokoh agama itu sebagai keterlaluan.

"Saya berada di tempat kejadian, saya saksikan seolah-olah (tangkap Dr Mohd Asri seperti) hendak tangkap penjenayah," katanya.

Saari, yang mencadangkan usul berkenaan bawah perkara 17(1) peraturan tetap mesyuarat, turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menyemak semula dan meminda enakmen-enakmen pentadbiran negeri yang tidak selaras dengan "tuntutan Islam dalam usaha menyebarkan Ilmu."

"Ini hendaklah disegerakan kerana (penangkapan ke atas Dr Mohd Asri) mencemar imej kerajaan negeri," katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa supaya proses pentauliahan dipermudahkan agar tidak menjadikan ulama berkelayakan seperti Dr Mohd Asri sebagai mangsa keadaan.

Ditemui pemberita di luar persidangan DUN selepas itu, beliau berkata usul tersebut walaupun ditolak, ia masih boleh dibincangkan semasa perbahasan pembentangan bajet negeri yang sedang berjalan.

"Cuma ia tidak jadi usul tergempar. Saya masih boleh bawa dalam perbahasan saya," jelasnya.

Tambahnya, beliau telah menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dengan membawa usul berkenaan dan tidak kesal kerana tidak dapat membincangkannya.

Turut kecewa dengan tindakan Jais terhadap bekas mufti itu termasuklah ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang berkata isu tersebut menimbulkan persepsi buruk ke atas pasukan keselamatan negara.

"Saya tidak mahu terjebak dalam polemik soal pentadbiran berkenaan soal tauliah. Yang saya persoalkan, cara beliau ditahan oleh pihak Jais, oleh sejumlah besar pasukan keselamatan," katanya ketika membahas pembentangan bajet hari ini.

"Ini amat mejelekkan. Yang kita kecam hari ini adalah cara penahanan ke atas mantan mufti itu seolah-olah Dr Mohd Asri ini seorang pengganas, seorang penjenayah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS