Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan wujudnya apa yang dinamakan sumpah bai'ah yang membawa kepada perceraian isteri sehingga menjadi polemik baru dalam kepimpinan PAS sekarang.
Menteri besar Kelantan berkata isu itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu di kalangan orang Islam sendiri yang dengki terhadap perjuangan PAS yang mula diterima oleh masyarakat umum.
"Sebenarnya PAS ini telah didengki oleh orang Islam sendiri, oleh kerana parti ini berkembang akhir-akhir ini maka golongan sekular ini berusaha juga dan mencari juga jalan yang boleh menggugat kedudukan PAS.
"Di Kelantan, isu bai'ah ini tak timbul langsung," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini, mengulas isu yang ditimbulkan oleh anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad baru-baru ini.
Khalid, daripada PAS, mengakui wujudnya syarat yang menghendaki pemimpin-pemimpin parti itu melafazkan bai'ah iaitu sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti.
Bagaimanapun Naib Presidennya Salahuddin Ayub berkata Majlis Syura Ulama tidak pernah mengeluarkan sebarang dasar yang menghendaki pemimpin-pemimpin parti itu melafazkan bai'ah sedemikian.
Namun anggota jawatankuasa pusat PAS dan anggota Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa pula mempertahankan bai'ah yang wujud dalam parti itu dengan alasan untuk mengelak wakil rakyat mereka daripada dibeli oleh Umno.
Reaksi daripada itu kerajaan mahu kepimpinan PAS memberi penjelasan mengenai dakwaan bai'ah itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berkata ini kerana pihak kerajaan melihat bai'ah adalah suatu keputusan yang hanya dibuat sebelah pihak tanpa perbincangan dengan pihak wanita.
Bagaimanpun Nik Abdul Aziz mengakui sebelum calon PAS bertanding (dalam pilihan raya) ada angkat sumpah dan ia terdapat dalam borang taat setia sebagai akujanji sebagai tanda setia dan amanah kepada parti.
"Kita kahwin dengan orang pun ada ijab kabul, ijab kabul itu yang dipanggil bai'ah," katanya.
Ditanya mengenai wujudnya bai'ah sedemikian di kalangan PAS Selangor, Nik Aziz berkata sebagai menteri besar Kelantan masalah Selangor adalah masalah individu dan terserah kepada tugas jawatankuasa disiplin utuk menyelesaikannya.
Di KUALA LUMPUR, Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak akan mengambil sebarang tindakan atau memberikan penjelasan lanjut mengenai isu bai'ah kerana menganggap isu itu telah selesai.
"Tak payah (siasatan), tidak ada (bai'ah), benda tu tidak ada, ia sudah selesai, sudah habis," jawabnya ringkas ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen.
Abdul Hadi berkata, perkara itu hanya dibangkitkan oleh media dan bukannya anggota PAS.
Sementara itu, Salahudin berkata, parti itu tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Khalid yang membuat kenyataan itu memandangkan pemimpin tertinggi dan Majlis Syura PAS memberitahu bahawa sebenarnya bai'ah yang didakwa tidak wujud.
Baginya, isu bai'ah itu tidak menjadi liabiliti kepada parti itu bahkan ia dianggap sebagai satu percambahan minda yang sihat dalam parti serta mencerminkan kebebasan bersuara di kalangan anggota PAS. BERNAMA