Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang sedang dijalankan SPRM terhadap Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata ini memandangkan siasatan masih dijalankan.
Oleh itu, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehinggalah siasatan selesai dijalankan.
Menurutnya, isu siasatan terhadap PMBK kini diberi liputan meluas oleh pihak media dan mendapat perhatian masyarakat.
"SPRM juga mengharapkan sokongan orang ramai dalam usaha SPRM memerangi jenayah rasuah," kata kenyataan itu lagi.
Sabtu lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata terpulanglah kepada SPRM untuk menyiasat sesiapa sahaja termasuk menantunya, Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang dituduh melakukan pecah amanah.
SPRM baru-baru ini telah menyiasat dakwaan itu dan telah ke pejabat Abdul Ariffahmi bagi menyiasat dakwaan penulis blog tersebut.