Mayat Teoh Beng Hock akan digali semula pada 21 November ini dan bedah siasat akan dijalankan pada hari berikutnya.
Mahkamah koroner hari ini memerintahkan supaya mayat Teoh Beng Hock digali semula pada 21 November depan manakala bedah siasat dijalankan pada hari berikutnya di Hospital Sungai Buloh.
Bedah siasat itu akan dijalankan oleh ahli forensik patologi Dr Shahidan Md Noor.
Pada 27 Oktober lalu, Keluarga Teoh memfailkan permohonan untuk menggali mayatnya ekoran pendedahan ahli patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand dan kematiannya mungkin disebabkan homisid.
Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 335 Kanun Prosedur Jenayah dan disokong oleh afidavit abang Teoh - Meng Kee.
Mahkamah juga memutuskan bahawa Pornthip boleh menghadiri bedah siasat kedua itu.
Teoh ditemui mati pada 16 Julai lalu, selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, Bernama melaporkan, Koroner Azmil Muntapha Abas juga memerintahkan supaya bedah siasat kedua itu dikendalikan oleh seorang pegawai perubatan dengan kehadiran empat pakar forensik lain iaitu Dr Khairul Azman Ibrahim dan Dr Prashant Naresh Samberkar, Dr Pornthip Rojanasunand dari Thailand dan seorang lagi yang akan dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun butiran terperinci mengenai proses bedah siasat itu, termasuk bila dan di mana ia akan dilakukan, hanya akan ditentukan oleh mahkamah Isnin depan.
Dalam prosiding hari ini, peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi SPRM menarik perhatian mahkamah bahawa Dr Pornthip tidak berkelayakan dari segi undang-undang di Malaysia untuk mengendalikan proses bedah siasat terhadap mayat Teoh.
"Ini kerana pakar forensik Thailand itu menerima kelulusan perubatannya dari universiti yang tidak diiktiraf di bawah senarai 250 universiti perubatan dalam Jadual Kedua akta tersebut," katanya.
Peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, memohon mahkamah supaya membenarkan Dr Pornthip menghadiri proses bedah siasat itu dan membuat pemerhatian bagi membolehkannya menyediakan laporan forensik.
"Kami juga memohon supaya Dr Pornthip dibenarkan untuk memberi keterangan sekali lagi ke mahkamah ini dan membentangkan hasil laporan forensiknya.
"Kami merasakan pendapat Dr Pornthip adalah amat relevan dalam prosiding inkues ini bagi membantu mahkamah membuat penemuan mengenai sebab-sebab kematian mendiang dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematiannya," kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa Dr Pornthip sedia menghadiri bedah siasat bermula 14 November depan.
Gobind juga berkata koroner mempunyai bidang kuasa untuk melantik seorang pegawai perubatan bagi menjalankan bedah siasat ke atas mayat Teoh.
Beliau juga tidak membantah sekiranya bedah siasat itu dihadiri oleh Dr Khairul Azman dan Dr Prashant, yang telah menjalankan autopsi ke atas mayat Teoh sebelum ini, serta seorang pakar forensik bebas yang dilantik SPRM.
Peguam Tan Hock Chuan, mewakili kerajaan Malaysia serta peguam Malik Imtiaz Sarwar, bagi kerajaan negeri Selangor, tidak membantah permohonan itu.
"Kami bersetuju bahawa keluarga si mati berhak untuk mengetahui punca sebenar kematian Teoh dan apa yang berlaku pada 16 Julai lalu.
"Kesemua pihak (peguam) dalam prosiding inkues ini bersetuju untuk membantu koroner dalam hal ini dan kami juga bersetuju bahawa doktor-doktor terbabit dibenarkan untuk menghadiri bedah siasat Teoh," kata Tan.
Pada 16 Julai, Teoh, setiausaha politik kepada anggota EXCO Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri di pejabat SPRM yang terletak di bangunan yang sama.
Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.