Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kelantan menyambut baik pemberian wang ehsan kepada negeri, tetapi mahukannya diurus oleh kerajaan PAS.

"Kita cadangkan pelarasannya dibuat oleh negeri. Kalau melalui Jawatankuasa Kemajuan Pusat (JKP), kita bimbang prasarana negeri tidak dapat dibangunkan kerana rakyat mahukan manfaat langsung (daripada pembayaran tersebut)," kata yang dipertuanya Mohd Rosli Ismail.

Mengulas pengumuman perdana menteri menyerahkan wang ehsan sebagai pembayaran hasil petroleum, Mohd Rosli berkata, kerajaan Kelantan lebih mengetahui keperluan masyarakat setempat dan dapat menguruskan wang itu secara lebih berkesan bagi tujuan penting seperti pembasmian kemiskinan.

“Keadaan di Terengganu dulu misalnya, (menteri besar) Datuk Ahmad Said sendiri tegur, projek (kerajaan pusat) datang tidak dapat mengenal pasti kehendak masyarakat setempat,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebagai seorang ahli perniagaan, kata Mohd Rosli, beliau berharap wang hasil bumi Kelantan itu dapat disalurkan kepada industri kecil dan peruncitan yang sedang diancam teruk akibat kemasukan pasar raya besar yang sedang rancak tumbuh di negeri itu.

“Keadaannya sekarang, kemunculan banyak pasar raya besar menyebabkan industri runcit ini tidak dapat bersaing. Wang ehsan boleh menjadi 'joran' bagi membantu peniaga bersaing kembali,” katanya.

Ditanya sama ada persatuan tersebut mahukan wang ehsan digantikan dengan royalti, beliau berkata: “Buat permulaan, tidak mengapa.”

Persatuan itu dianggota lebih 2,000 peniaga daripada seluruh negari Kelantan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS