Ahli parlimen Shah Alam sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan saman malu terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mendakwa beliau mempunyai "rekod jenayah".
Khalid Samad berkata tindakan itu mungkin diambil berdasarkan surat makluman polis Selangor sebelum ini yang menyatakan beliau mempunyai rekod sedemikian.
"Tapi bila saya tanya mereka tidak boleh sebutkan apa jenayah saya," katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam petang ini.
"Jadi saya akan buat saman malu sebab (Jais) menulis kepada pihak ketiga (polis), sedangkan saya tidak pernah hadir ke mahkamah dan tidak pernah dibicarakan atas apa-apa kesalahan."
Khalid juga berkata peguamnya sedang melihat sama ada beliau mempunyai cukup bukti untuk mencabar keputusan Jais yang enggan mentauliahkannya mengajar agama di negeri itu.
Tambahnya, pengarah jabatan tersebut Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga berdolak-dalik ketika diminta menjelaskan sebab tauliahnya ditolak tahun lalu.
"(Jais) beri alasan putar belit. Bila kita timbulkan isu rekod jenayah, baru kata tauliah saya ditarik sebab bacaan (khutbah) saya tak mantap," kata Khalid lagi.
Tambahnya, kenyataan ini seolah-olah menunjukkan Jais dan pengarahnya ingin menutup kelemahan jabatan berkenaan apabila tidak konsisten memberi alasan tauliahnya ditarik balik.
Mohamed Khusrin ( kanan ) hari dilaporkan berkata Jais bertindak sedemikian terhadap Khalid kerana "tidak sesuai membaca khutbah" setelah merujuk pandangan para jemaah dan juga pemimpin PAS itu tidak mempunyai pendidikan rasmi dalam bidang agama.
Kenyataannya itu di Sinar Harian tidak mengulas isu "rekod jenayah" yang dijadikan alasan oleh Jais dalam surat pembatalan tauliahnya kepada Khalid, 28 Oktober 2008.
Khalid juga berkata, Jais perlu bertindak telus tanpa mengikut tekanan politik daripada mana-mana pihak dalam proses pentauliahan penceramah agama.
"Kena ada alasan dan sebab kukuh untuk tolak tauliah. Kalau ada laporan (membantahnya), kena tunjukkan kepada saya. Saya pun hendak tengok. Tidak bolehlah berdasarkan aduan saja," katanya.
"(Khusrin) kena buktikan apa bacaan saya yang tidak mantap, tunjukkan (tindakan tarik tauliah) bukan dibuat atas tujuan politik."
Bekas ahli jawatankuasa pusat PAS itu turut mempertikaikan kelayakan Khusrin yang mendakwa bacaan khutbahnya tidak mantap, dan berkata pengarah itu sendiri tidak mempunyai kelayakan sesuai untuk memegang jawatan tinggi di jabatan tersebut.
"Sepatutnya pengarah ini sekurang-kurang kena ada kelusan sarjana atau kedoktoran... Saya difahamkan Khusrin cuma lulusan ijazah ekonomi daripada Universiti Malaya," kata Khalid.
"Apa kelayakan dia untuk kata bacaan saya tidak mantap?"
Beliau juga mempersoalkan rasional di sebalik kuasa mutlak yang diberikan kepada jabatan berkenaan dalam pentauliahan seseorang penceramah agama.
"Kena ada proses nasihat dan perbincangan untuk tentukan proses tauliah supaya tidak dimonopoli oleh satu pihak saja dan pastikan proses itu telus.
"Proses kena lebih telus supaya kita boleh tentukan ia tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak termasuk PAS dan Umno," katanya lagi.
Ditanya sama ada pengarah Jais tersebut perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) DUN atas tindakan tidak konsisten tersebut, Khalid berkata perkara tersebut hanya boleh dilakukan dengan perkenan Sultan Selangor.
"Ini sebab Jais dan Mais (Majlis Agama Islam Selangor) berada bawah Sultan. Tapi kalau memang ada salah guna kuasa dan penyelewengan, tidak ada siapa yang boleh kebal daripada undang-undang," katanya.