Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM7 juta hargai kejujuran Rosmah
Diterbitkan:  Nov 6, 2009 3:55 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Semasa bercuti dengan keluarga di selatan Perancis pada Ogos lepas, Datin Seri Rosmah Mansor terjumpa sebuah kotak milik Putera Saud Al-Saud dari Arab Saudi dalam sebuah bot dan memulangkannya kepada kerabat diraja itu.

Sebagai balasan kerana kejujurannya itu, isteri Perdana Menteri diberikan US$2 juta untuk rakyat Malaysia yang memerlukan.

NONE Hari ini, Rosmah mengagihkan sebahagian wang itu berjumlah RM20,000 setiap satu kepada 13 persatuan amal termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Majlis AIDS Malaysia, Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia, Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia dan persatuan isteri wakil rakyat BN di setiap negeri.

Beliau berkata US$1 juta lagi akan diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang menguruskan Sekolah Permata Pintar bagi menampung pembelian keperluan sekolah, manakala baki RM2.98 juta akan disimpan dalam tabung khas Bakti bagi membiayai kos rawatan kanak-kanak dan wanita yang berpenyakit kronik yang tidak berkemampuan.

Ketika menceritakan pertemuan kotak itu kepada pemberita, Rosmah berkata beliau sekeluarga sedang bercuti atas jemputan putera diraja Kuwait yang berkawan dengan anaknya, Riza Shahriz.

"Semasa sedang berkemas ketika hendak balik, saya terjumpa kotak itu dan berikannya kepada pengurus bot dan beritahunya supaya pulangkan barang berharga ini kepada tuan punya.

"Saya kata jangan usik, jangan buat apa-apa. Pastikan ia dalam keadaan baik dan beri kepada Putera Saud Al-Saud," katanya.

Menurutnya, dua minggu selepas itu baginda mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana memulangkan kotak itu yang tercicir semasa sedang bercuti dalam bot yang sama.

"Putera itu kata nak berikan hadiah dan saya kata hadiah terbaik adalah untuk kesejahteraan rakyat Malaysia," kata Rosmah.

Selepas menerima cek ganjaran itu, beliau berbincang dengan Datuk Seri Najib Razak yang meminta beliau menguruskan wang itu secepat mungkin dan diagihkan kepada pihak yang memerlukan.

"Saya juga meminta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri untuk ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya sumbangan ini bersih dan tiada pihak yang memutarbelitkan fakta," kata Rosmah.

Kotak yang ditemui itu dipercayai mengandungi beberapa keping cek. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS