MCA bakal menyaksikan satu lagi mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini bagi membolehkan para perwakilan memutuskan sama ada perlu diadakan pemilihan parti yang baru bagi menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu.
Tarikh itu diumumkan oleh tiga ahli jawatankuasa pusat (CC) MCA yang sebelum ini menghantar memorandum - yang ditandatangani oleh 16 anggota CC - meminta parti itu mengadakan EGM baru.
Ketiga-tiga mereka, yang diketuai peguam Wong Nai Chee, merupakan penyokong Datuk Seri Liow Tiang Lai, yang terpaksa melepaskan jawatan timbalan presiden, selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kekal memegang jawatan nombor dua itu.
MCA merupakan parti komponen kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN).
Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat MCA hari ini, mereka berkata EGM tersebut akan dibiayai melalui sumbangan dan sebuah jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan untuk menguruskannya.
Ditanya bagaimana sekiranya puak lain - yang diketuai oleh Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat -enggan mengiktiraf keputusan EGM tersebut, Wong berkata, ia tidak akan menjejaskan usaha mereka.
"Jika mereka tidak puas hati, biarlah mereka mencabar kami," katanya, sambil menambah ada kemungkinan perkara itu akan dibawa ke mahkamah.
Mengulas mengenai kemungkinan pemilihan baru diadakan, Wong berkata, mereka akan mematuhi keputusannya.
"Perwakilan pusat akan menilai semula prestasi pucuk pimpinan parti, termasuk semua anggota CC sejak setahun lalu.
"Malah, jika jawatan presiden dimenangi dengan satu undi, kami akan menerimanya. Kerana kami rasa, hanya pemilihan baru sahaja dapat memulihkan kredibiliti parti," tambahnya.
Wong juga membidas puak yang tidak mematuhi keputusan EGM yang lalu.
"EGM adalah badan pembuat keputusan tertinggi parti, tetapi keputusannya tidak dihormati. Ke manakah hilangnya maruah parti kita," soalnya.
Ditanya sama ada EGM kedua ini akan menjejaskan imej parti itu, Wong berkata, pucuk pimpinan sekarang yang menjadi punca parti hilang moral dan oleh itu, pemilihan baru diperlukan.
Sementara itu, Wong berkata, mereka tidak akan merujuk perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia adalah merupakan urusan dalaman parti.
Dua resolusi yang akan dibentangkan dalam EGM baru itu ialah:
- Membubarkan CC dan mengadakan pemilihan bagi mendapatkan mandat baru dalam tempoh 30 hari.
- Sebarang perubahan jawatan parti, termasuk pelantikan dan pemecatan, selepas EGM 10 Oktober dianggap tidak sah dan batal.
Sejak setahun lalu, MCA berdepan dengan pelbagai kemelut kerana pergeseran dalaman parti, yang membawa kepada pemecatan Chua Ogos lalu, selepas berkrisis dengan presiden parti.
Sepanjang episod tersebut, Liow merupakan penyokong setia Ong.
Bagaimanapun, kedua-duanya tidak sehaluan lagi selepas para perwakilan yang menghadiri EGM pertama, menyokong usul undi tidak percaya terhadap presiden.
Ong kemudiannya menuduh sebagai pengkhianat apabila menteri kesihatan itu mengetuai 20 anggota CC menandatangani memorandum menggesa presiden meletak jawatan.
Ekoran itu, Ong dan Chua bersetuju menerima pelan damai - yang sekaligus memberi tamparan kepada Liow dan para penyokongnya.
Liow disokong oleh ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun.