Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6.55pm Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang mengancam ingin mengambil tindakan undang-undang, kini berdamai dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), kata Mej-Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Persetujuan telah dicapai supaya tidak ada lagi saman-menyaman di antara bekas mufti Perlis dengan PGSM, tambah menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata perdamaian dicapai itu dalam pertemuan dengan Dr Mohd Asri dan pemimpin PGSM di Sungai Besi, Kuala Lumpur pagi ini.

Jelasnya, kedua-dua pihak bersetuju supaya "pandangan-pandangan yang tidak baik itu diperindahkan balik, kekurangan itu ditambah, kesilapan dan salah diperbetulkan."

Dalam pertemuan itu yang diadakan di hotel Palace of the Golden Horses itu, kata Jamil lagi, beliau melihat "perkembangan posititif" isu melibatkan bekas mufti Perlis tersebut.

"Kita telah mengadakan pertemuan bertujuan mengambil kata sepakat antara kedua-dua pihak bagi (cari) penyelesaian yang sewajarnya secara musyawarah bagi kemelut yang berlaku antara PGSM dan Dr Mohd Asri," katanya.

"Maksudnya beliau bersetuju untuk tidak saman, untuk (capai) perdamaian," tambahnya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga pemegang amanah Yayasan wakaf Malaysia di Kuala Lumpur petang ini.

Tokoh agama itu berura-ura menyaman PGSM dan sejumlah NGO Islam berhubung kandungan memorandum mereka kepada Yang di-Pertuan Agong pertengahan bulan lalu sebagai membantah perlantikannya untuk mengetuai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Mengulas mengenai isu pelantikan Dr Mohd Asri sebagai yang dipertua yayasan berpengaruh itu, Jamil berkata perkara itu masih belum diputuskan.

"Sekarang bukan soal ganti. Jawatan yang ada itu (masih) kosong," katanya, yang kini sedang meneliti beberapa tokoh yang dicadangkan bagi memenuhi jawatan berkenaan.

Jamil menambah, isu mempertikaikan kelayakan agama Dr Mohd Asri sebagai mufti - seperti dibangkitkan oleh seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) - juga tidak timbul lagi kerana pihak berkenaan "telah menarik balik kenyataannya".

Jelasnya, penolong pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), sebuah institusi bawah Jakim, berbuat demikian dalam dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Utusan Malaysia semalam.

"(Dalam laporan tersebut,) beliau sebut, itu kenyataan peribadinya dan beliau tarik balik,” katanya. "Sebenarnya tidak timbul (isu) kelayakan. Memang pun telah dilantik sebagai mufti dan sekarang ini menjadi mantan (mufti)."

Tambahnya, beliau akan menjelaskan mengenai isu penyeragaman kaedah pentauliahan penceramah agama di negeri-negeri di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Malaysiakini difahamkan, Jamil berhasrat menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan perkembangan isu melibatkan Dr Mohd Asri dan PGSM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS