kemaskini 1.58pm Sistem pentauliahan bagi mengajar agama yang diamalkan oleh pihak berkuasa agama Islam di semua negeri adalah mencabul kebebasan bersuara dan hak asasi manusia, kata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Kita hendaklah memulakan (mengiktiraf) hak kebebasan bersuara, bukan menghalang kebebasan bersuara. Secara dasar dan prinsip asasnya, manusia bebas bersuara melainkan beliau menyalahgunakan kebebasan itu,” kata Dr Mohd Asri.
“Saya rasa kita kena balik kepada asas Islam. Nabi Muhammad bersabda, 'sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Kalau setiap orang hendak sampaikan satu ayat kena ambil (pohon) tauliah, berapa orang saja yang boleh laksanakan arahan nabi itu?” soalnya.
Ahad lalu, Dr Mohd Asri yang ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berceramah di sebuah banglo di Hulu Kelang Ahad lalu, atas alasan mengajar tanpa tauliah.
Selain mencabul kebebasan bersuara, ahli agama kontroversi itu turut menyifatkan sistem tersebut sebagai “tidak Islamik” kerana menghalang pihak yang berpengetahuan menyampai ilmunya.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini di ibunegara pagi ini, Dr Mohd Asri yang kini merupakan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USAM) berkata, dalam tradisi Islam, kebebasan menyuarakan pendapat dan berhujah, sentiasa dijamin walaupun terhadap musuh.
‘Ada unsur politik’
“Ini pencemaran terhadap hak asasi. Ini masalah (pelanggaran) perlembagaan. Hak ini diakui Islam sendiri. Allah cabar mereka yang menentang Nabi Muhammad, 'datangkan hujah kamu jika kamu berada di pihak yang benar'.
“(Musuh Islam) pun dibenarkan bercakap, tiba-tiba kita hendak halang hak setelah orang itu. Saya ingat, ini adalah warisan penjajah yang penjajah pun tidak buat lagi di negerinya,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Mohd Asri tidak menolak sistem tersebut telah disalahgunakan sebagai “alat kawalan” terhadap pendakwah-pendakwah Islam di negara ini.
“Ini adalah unsur pembendungan. Ia ada unsur politik. Pada mulanya hendak membendung orang (menyampaikan) ceramah agama yang ada unsur politik. Dan akhirnya membendung orang yang berbagai-bagai,” katanya.
Katanya, walaupun Perlis mempunyai undang-undang yang sama, tetapi beliau tidak pernah menguatkuasanya sepanjang dua tahun menjadi mufti negeri itu daripada penghujung tahun 2006 sehingga November 2008.
Ditanya sama ada beliau tidak memohon tauliah mengajar di Selangor kerana tidak pernah mengiktiraf sistem tersebut, Dr Asri berkata:
“Itu satu hal. Kedua, bayangkang, kalau semasa saya jadi mufti, dia (Jais) telah umumkan semua mufti boleh (mengajar dan berceramah) kecuali mufti perlis. Sekarang kamu boleh bayangkan, kalau saya pohon dia akan berikan atau tidak?” soalnya.
Kesan negatif
Dr Mohd Asri juga mendakwa, sistem kawalan berceramah dan mengajar yang diamalkan itu telah memberikan kesan negatif terhadap usaha dakwah dan pengembangan Islam di negara ini.
“Dukacitanya, (kerajaan Pakatan Rakyat) Selangor yang dikatakan cuba membawa agenda reformasi dan perubahan, tetapi undang-undang seperti ini masih ada,” katanya.
Untuk menambahbaikan sistem itu, Dr Mohd Asri mencadangkan:
- Mansuhkan sistem pentauliahan, tetapi kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap penceramah yang menyampaikan ajaran salah, dengan disokong bukti kukuh.
- Berikan pengecualian tauliah kepada sarjana Islam dan pihak yang mempunya latar belakang pendidikan agama.