Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan negeri hari ini meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghadap Sultan Selangor untuk memberi penjelasan mengenai isu pemberian tauliah untuk mengajar agama di negeri itu serta isu kontroversi penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia merupakan kaedah terbaik bagi mengendalikan isu-isu yang mencetuskan kontroversi tersebut.

Dalam mesyuarat exco hari ini, pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dipanggil memberikan taklimat berhubung isu tersebut.

Difahamkan beliau mengambil masa hampir sejam menjelaskan mengenai operasi jabatan itu dalam menguatkuasakan undang-undang syariah negeri.

"Oleh kerana penguasaan pentadbiran agama Islam di bawah Tuanku Sultan, maka kita telah meminta Jais berjumpa Tuanku Sultan supaya membincangkan perkara yang telah dibangkitkan (dalam mesyuarat exco) supaya mendapat persetujuan tentang beberapa perkara untuk dilaksanakan," kata menteri besar.

"Saya tidak akan menyebut perkara tersebut kerana itu masih dalam perbincangan," kata Abdul Khalid

Ditanya bila pihak Jais akan menghadap Sultan, menteri besar berkata: "Boleh jadi petang ini."

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri, Abdul Khalid menolak tanggapan bahawa kerajaan negeri mahu lepas tangan dalam isu tersebut.

"Tidak, kita campurtangan. Walaupun Jais merupakan jabatan di bawah kerajaan negeri, tetapi itu dari segi operasi. Dari segi kuasa pentadbiran dan dasar mengenai agama Islam, ia di bawah naungan Tuanku Sultan," jelas Abdul Khalid.

Berhubung keputusan mendakwa Dr Asri, menteri besar juga berkata, jabatan itu masih belum membuat kesimpulan sama ada terdapat keperluan melakukannya.

Beliau juga berkata, tiada penilaiaan semula terhadap undang-undang syariah akan dibuat buat masa ini, sekaligus menafikan desas-desus cadangan enakmen agama akan dibentangkan dalam sidang DUN Selangor yang akan bersidang Isnin ini.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, exco kanan Selangor, Ronnie Liu berkata, pembantunya di Sungai Pelek, Wong Chua How yang akan didakwa atas kes rasuah, akan melepaskan kesemua jawatannya yang dipegangnya sekiranya dibuktikan bersalah.

Ronnie berkata, Wong yang juga ahli majlis Sepang dan setiausaha DAP Sungai Pelek, telah menyatakan kesediaannya itu, dalam surat tidak bertarikhnya yang dihantar kepada menteri besar dan partinya hari ini.

Wong turut hadir dalam sidang media itu, tetapi tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS