Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat memecat empat anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang dilantik pagi ini - kira-kira empat jam sebelum mesyuarat CC berlangsung tengahari ini.
Mereka yang dipecat itu ialah Datuk Chor Chee Heung, Datuk Chai Kim Sen, Yoo Wei How dan Gan Hon Su - semuanya penyokong Timbalan Presiden yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Mereka adalah antara 16 anggota jawatankuasa pusat yang menandatangani memorandum mendesak supaya mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA diadakan bagi menentukan sama ada perlu diadakan pemilihan pucuk pimpinan MCA yang baru.
Chor merupakan timbalan menteri kewangan, manakala Chai pula setiausaha agung Pemuda MCA
Yoo pula merupakan setiausaha organisasi MCA manakala Gan adalah timbalannya.
Ekoran iatu, tiga orang - Tan Chin Meng, Chua Tee Yong dan Datuk Donald Lim - dilantik sebagai anggota jawatankuasa pusat.
Manakala Senator Heng Seai Kie pula dilantik menggantikan Lee Wee Kiat dilantik sebagai ketua penerangan. Lee merupakan antara penyokong Liow.
Heng merupakan setiausaha agung Wanita MCA dan juga timbalan menteri penerangan, telekomunikasi, kesenian dan kebudayaan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Chor memberitahu sidang akhbar petang tadi bahawa mereka menerima surat pengguguran masing-masing pada jam 10.30 pagi tadi sebelum mereka dapat enghadiri mesyuarat jawatankuasa itu diibu pejabat parti.
"Tindakan ini adalah sesuatu yang mengejutkan kerana kami sudah bersedia ntuk hadir mesyuarat itu bagi membincangkan agenda penting mengenai pelan perpaduan parti," katanya.
Beliau berkata tindakan Ong itu akan menjadikan MCA bahan cemuhan kerana, pada ketika Ong menghebahkan rancangannya untuk menyatukan parti, beliau juga menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya.
Chor mendakwa, tindakan Ong itu merupakan satu perbuatan balas dendam terhadap pemimpin-pemimpin MCA yang tidak bersetuju dengannya.
Beliau juga berkata kedudukannya sebagai timbalan menteri tidak terjejas kerana kuasa pelantikan itu adalah pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Yoo dan Gan pula berkata mereka tidak tahu sebab pengguguran mereka.