Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Murid maut disengat tebuan tanah
Diterbitkan:  Nov 2, 2009 8:24 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Seorang pelajar tahun enam SK Kampung Bako meninggal dunia apabila disengat tebuan tanah ketika bermain di sebuah kawasan takungan air berhampiran Kampung Bako dekat Kuching semalam.

Sazali Sapiee, 12, meninggal dunia kira-kira 9.10 malam setelah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Kejadian berlaku pada 2 petang ketika Sazali dan beberapa rakannya berusia antara sembilan dan 12 tahun sedang bermain di kawasan takungan air itu.

Walaupun disengat di bahagian muka dan badan, Sazali terus bermain dengan rakan-rakannya di satu anak sungai berhampiran.

Namun ketika bermain Sazali, anak sulung daripada dua adik-beradik itu, pengsan dan dibawa seorang penduduk kampung ke rumah kanak-kanak itu dengan sebuah kereta sorong.

Bapanya Sapiee Morshidi, 42, yang baru pulang daripada menangkap ikan, meminta bantuan saudaranya di Kuching untuk membawa Sazali ke hospital.

Ketika kejadian, ibu Sazali, Siti Fatimah Salleh, 30, yang baru melahirkan bayi lelaki berusia tiga bulan, sedang mendapatkan rawatan selepas bersalin di Asajaya, Kota Samarahan.

Siti Fatimah berkata Sazali adalah seorang yang baik dan ringan tangan apabila ibu atau bapa meminta bantuan.

Pada 4 Okt lepas, seorang wanita dan tiga anaknya berusia tiga hingga lapan tahun serta adik lelakinya disengat tebuan tanah dekat rumah pangsa mereka di Taman Sri Cahaya di Sungai Moyan di Kuching.

Ketiga-tiga anak itu meninggal dunia manakala ibunya kini masih dirawat di Hospital Umum Sarawak. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS