Tidak berpuas hati dengan tangkapan terhadap Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Pemuda PAS hari ini menyatakan kesediaannya untuk bertemu sendiri Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung perkara tersebut yang dikaitkan dengan isu pengajaran tanpa tauliah rasmi.
"Dewan Pemuda PAS bersedia untuk mengadakan dialog dengan pihak mufti negeri atau pengarah JAIS bagi menangani isu seperti ini (pentauliahan) demi masa depan dakwah Islam di negeri Selangor.
"Insya Allah Dewan Pemuda PAS akan membuat temujanji dengan pengarah JAIS dalam masa terdekat untuk tujuan tersebut," kata ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.
Sejak kerajaan ini ditadbir Pakatan Rakyat mulai Mac 2008, katanya lagi, "keadaan di Selangor banyak berubah terutama kebebasan para penceramah agama untuk menyampaikan kuliah dan tazkirah bagi membasmi kejahilan ummah berbanding di zaman pemerintahan Umno dulu."
"Dewan Pemuda PAS turut melahirkan rasa kesal atas tindakan Jais dengan menganggap isu seperti ini boleh diselesaikan secara lebih hikmah tanpa perlu membuat sebarang tangkapan yang boleh mencetus polemik dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap Jais."
Sementara ketua Pemuda Umno pula merasakan rasa terkejut dengan berita penahanan bekas mufti Perlis ini, dilaporkan kerana disyaki mengajar tanpa tauliah.
"Saya amat berharap beliau diberikan hak pembelaan dan pengadilan yang sewajarnya terutama apabila tangkapan itu dibuat hasil kerjasama yang baik daripada Dr Mohd Asri sendiri kerana dilaporkan bahawa penahanan beliau diakukan tanpa sebarang waran tangkap," kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menulis di blognya hari ini, ahli parlimen turut mempersoalkan tindakan tersebut walaupun agamawan itu sering menyampaikan pandangan secara lisan atau bertulis selama bertahun-tahun.
"Jika benarlah Asri ditahan atas sebab ceramah beliau, mengapa sekarang baru pihak Jais mahu mengambil tindakan walhal Dr Mohd Asri sudah lama berceramah dan berkongsi pandangan serta komen dalam coretan-coretan, baik dalam blog beliau mahupun sebagai kolumnis dalam akhbar tempatan?" kata Khairy lagi.
"Saya berharap (tangkapan) ini bukanlah satu penahanan terpilih yang tercetus daripada provokasi mana-mana pihak yang tidak menyenangi beliau, atau berunsur politik bagi melarikan fokus rakyat lantas menutup kelemahan sesetengah pihak.
"Saya akan memantau situasi ini dengan cukup rapi dan jika benar wujud apa-apa ketidakadilan terhadap Dr Mohd Asri dalam isu penahanan ini, saya tidak teragak-agak mengecam penuh tindakan seumpama ini."
[Laporan penuh menyusul]