Cadangan supaya Gerakan membuat pertimbangan serius untuk keluar daripada BN dalam masa setahun mencetuskan pelbagai reaksi dalam persidangan Pemuda parti itu.
"Ia (keluar BN) merupakan satu cadangan. Bagaimanapun, menimbulkan banyak reaksi daripada perwakilan kerana ia tidak dapat diterima sama sekali.
"Jadi, dengan sebulat suara, kami tolak cadangan itu," kata Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin.
Tidak dapat dipastikan sejauh mana reaksi perwakilan terhadap usul tersebut kerana persidangan tahunan Pemuda dan Wanita Gerakan dilangsungkan secara tertutup.
Beliau diminta menjelaskan sama ada usul kontroversi itu diterima setelah Pemuda Gerakan selesai melangsungkan persidangan tahunannya ke-22 kira-kira jam 3.30 petang tadi.
Usul daripada negeri yang dirahsiakan itu menyebut: "Pemuda Gerakan menyeru agar parti Gerakan membuat pertimbangan dengan serius sama ada untuk berundur dari BN dalam tempoh satu tahun yang seterusnya."
Ditemui selepas persidangan pergerakan itu ditangguhkan, Lim mengibaratkan Gerakan sebagai penumpang dalam sebuah kereta, iaitu BN.
"Kalau kamu sedang berada dalam sebuah kereta yang laju, kamu tidak akan buka tingkap dan lompat keluar. Ini tidak masuk akal. Bila berada dalam kereta, kita kena pastikan kereta itu berjalan lancar dan sampai ke destinasinya.
"Bila sampai ke sana, baru kita boleh buat keputusan, kamu hendak masuk balik atau tidak dalam kereta, itu masalah kamu," katanya.
Ditanya kenapa usul tersebut dimuatkan untuk dibincang, beliau berkata:
"Untuk berlaku adil, kita kena terima semua resolusi daripada negeri. Kalau tidak, apa gunanya mengadakan persidangan tahunan."
Lim menegaskan, setelah berbincang terdapat cadangan yang diterima, ditolak dan diterima dengan pindaan.
Usul yang telah dikemaskini akan diserahkan kepada media selepas ini, tambahnya.
Sebanyak sepuluh usul dibincangkan, antaranya mendesak kerajaan memansuhkan ISA, meminda Akta Penerbitan dan mesin Cetak dan mengambil alih Lebuhraya Utara Selatan bagi mengurangkan beban rakyat./ENDS